[PERSPEKTIF] ARSENAL BOLEH BERJAYA TANPA ROBIN VAN PERSIE – THIERRY HENRY

Thierry Henry yakin Arsenal boleh mencapai kejayaan meskipun kehilangan kapten sensasi, Robin van Persie musim ini. Masa depan penyerang Belanda itu di Emirates masih menemui jalan buntu dengan Robin van Persie mahu meninggalkan Arsenal untuk mencerahkan peluang meraih kejuaraan. Namun, pengurus Arsenal masih membuka pintu rundingan untuk mengekalkan pemain terbaik PFA musim lalu itu di Arsenal untuk beberapa musim akan datang.

Dengan kontrak berbaki setahun, Manchester City, Manchester United dan Juventus  dilaporkan berminat untuk mendapatkan tandatangan Robin van Persie yang merupakan penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris Barclays musim lalu dengan 30 gol.

Thierry Henry yang merupakan penjaring terbanyak Arsenal sepanjang zaman dengan meledak 228 gol sepanjang 8 musim bersama Arsenal sebelum berhijrah ke Barcelona pada Jun 2007 menegaskan Arsenal memiliki kualiti pemain yang hebat dan boleh berjaya tanpa Robin van Persie.

“Kami berharap agar dia (van Persie) terus kekal dan pengurusan berusaha untuk mengekalkannya,” beritahu penyerang Perancis itu kepada Skysports baru-baru ini.

“Saya tidak apa yang sedang berlaku tapi selaku peminat Arsenal saya mahukan dia kekal. Dia masih lagi pemain Arsenal dan pengurus sedang mengadakan rundingan. Saya cuma mahukan Arsenal melakukannya tugas dengan baik. Robin van Persie akan menyambung kontrak berdasarkan keinginannya dan apa yang dilihatnya.”

“Semasa saya meninggalkan Arsenal, peminat-peminat meratapi pemergian saya selepas lapan musim bersama Arsenal. Pemain akan datang dan pergi.”

Sementara itu, Thierry Henry mengakui bahawa Arsenal lebih memerlukan khidmat pemain tengah England, Jack Wilshere yang masih dibelenggu kecederaan lutut dan buku lali sejak Ogos 2011 dan berharap agar pemain berusia 22 tahun itu akan segera pulih. Wilshere dijangka kembali beraksi Oktober ini selepas disisih sepanjang musim lalu.

“Anda mahukan Jack Wilshere beraksi. Dia mengingatkan saya ketika pertama kali saya tiba di Arsenal,” kata penyerang New York Red Bulls itu.

“Dia (Wilshere) merupakan seorang peminat setia Arsenal dan kelab memerlukan pemain seperti dia dalam pasukan.”

“Wilshere bukan sahaja seorang peminat setia Arsenal tetapi juga seorang pemain yang sangat bagus dan hebat. Satu kehilangan besar bagi Arsenal tanpanya”

“Saya mendoakan agar Wilshere melakukan yang terbaik dan kembali bersama Arsenal dan menyarung jersi kelab kesayangannya ini,” kata Thierry Henry lagi.

This entry was posted in Perspektif. Bookmark the permalink.

Leave a Reply