[PERSPEKTIF] ARSENAL AKAN BANGKIT MUSIM INI – OLIVIER GIROUD

Olivier Giroud mengakui Arsenal bukanlah pasukan pilihan untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris tetapi yakin The Gunners mampu bangkit mencipta kejutan musim ini. Arsenal kini mengharungi 8 musim tanpa piala dilihat terdesak untuk menamatkan kemarau kejuaraan musim ini. Kali terakhir Arsenal menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris ialah pada musim 2003/04.

Penyerang baru Arsenal itu berpendapat kelab barunya masih gagal menyaingi perbelanjaan dan reputasi kelab seperti Manchester United, Manchester City dan Chelsea. Meskipun begitu, Giroud yakin dengan kemampuan Arsenal untuk mencabar kejuaraan liga musim ini dengan mencontohi kejayaan kelab lamanya, Montpellier.

Montpellier berjaya mencipta kejutan apabila menjulang kejuaraan Ligue 1 Perancis buat pertama kali dalam sejarah musim lalu dengan mengenepikan cabaran kelab-kelab pilihan seperti Paris Saint-Germain, Olympique Lyon dan juara bertahan, Lille di mana Olivier Giroud muncul selaku penjaring terbanyak Ligue 1 dengan menjaringkan 21 gol.

Penyerang Perancis itu yakin skuad Arsenal memiliki kekuatan mental dan kualiti pemain yang hebat untuk mengikut jejak langkah Montpellier mencipta kejutan menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

“Memang benar, saya melalui satu musim yang hebat bersama Montpellier,” kata Giroud kepada Arsenal Player baru-baru ini.

“Saya tidak mungkin melupakan musim itu kerana dalam karier selaku pemain bola sepak, memenangi kejuaraan sememangnya tidak dapat dilupakan dalam masa yang cepat.”

“Ada mentaliti yang baik dalam skuad ini, kualiti yang bagus bersama beberapa pemain yang hebat. Saya berharap menemui kualiti dan semangat bersama Arsenal. Jadi itulah sebab mengapa saya memilih Arsenal.”

“Bersama Montpellier, tiada sesiapa menyangka kami akan memenangi kejuaraan liga dan kami melakukannya dengan baik. Bersama Arsenal, kami mungkin bukan pilihan seperti Manchester United untuk menjadi juara. Kami adalah bukan pilihan tetapi saya yakin kami mampu melakukan sesuatu yang hebat.”

“Itulah yang saya telah lakukan bersama Montpellier dan saya bangga dengan apa saya capai di sana,” kata Giroud lagi.

Pemain berusia 25 tahun itu melalui pembangunan karier bola sepak di Perancis tetapi mengambil keputusan mengejut meninggalkan Ligue 1 untuk mencari cabaran baru.

“Saya mencatatkan 2 kali hatrik (musim lalu) di mana saya sangat yakin selaku seorang penyerang dan itu sangat penting. Saya berjaya muncul selaku penjaring terbanyak musim lalu dan itu memberikan saya lebih keyakinan diri.”

“Selaku seorang penyerang, menjaringkan gol sangat penting dan saya berjaya melakukan sepanjang karier saya. Ia membolehkan saya untuk terus maju dan tidak dibelenggu dengan keraguan, jadi saya membawa keyakinan dan ketenangan saya kepada pasukan Montpellier musim lalu.”

“Gol bukan untuk menjadi juara dan saya tidak pernah terfikir kami bakal menjadi juara. Jadi ia merupakan satu pengalaman yang hebat apabila memenangi perlawanan, menjulang kejuaraan dan semangat berpasukan yang hebat,” kata penyerang Perancis itu lagi.

This entry was posted in Perspektif. Bookmark the permalink.

Leave a Reply