[PERSAHABATAN] MALAYSIA TEWAS KEPADA MANCHESTER CITY

Skuad Malaysia jelas gagal menyaingi kehebatan satu lagi gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester City dalam satu perlawanan persahabat sempena siri jelajah pra-musim 2011/13. Juara Liga Perdana Inggeris 2011/12 itu menampilkan nama-nama besar seperti Sergio Aguero, Carlos Tevez, Yaya Toure, Adam Johnson, Alexander Kolarov dan Pablo Zabaleta mudah menewaskan skuad bimbingan Datuk K. Rajagopal 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Isnin lalu.

The Citizen cuba mengasak kubu Malaysia sebaik wisel ditiupkan menerusi gandingan dua penyerang kelahiran Argentina, Carlos Tevez dan Sergio Aguero dan berjaya memperoleh gol pertama apabila Aguero bijak membaca hantaran Yaya Toure dan memperdaya tiga orang pertahanan Malaysia sebelum merembat kencang menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-17. Malaysia cuba melakukan serangan balas namun gagal menemui sentuhan jaringan.

Ketangkasan penjaga gol muda City, Costel Pantilimon berjaya menafikan beberapa percubaan berbahaya penyerang kebangsaan yang diketuai oleh Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha. Sebaliknya, Sergio Aguero menjadi duri dalam daging buat skuad kebangsaan apabila mencipta ruang buat rakan senegara, Carlos Tevez untuk menjaringkan gol kedua City pada minit ke-52 sebelum Adam Johnson meledak gol ketiga buat skuad kendalian Roberto Mancini pada minit ke-68.

Selepas mendahului 3-0, Roberto Mancini melakukan beberapa pertukaran dengan mengeluarkan beberapa pemain-pemain utama termasuk Sergio Aguero dan Yaya Toure yang diagntikan dengan pemain-pemain muda. Peluang ini digunakan oleh Harimau Malaya untuk mencuri satu gol menerusi Azamudin Akil yang menerima hantaran cantik dari Mahali JasuliĀ  sebelum memperdaya dua pertahanan City pada minit ke-87.

Manchester City jelas bukan tandingan Malaysia meskipun tanpa ramai pemain utama termasuk ketua pasukan, Vincent Kompany, Gareth Barry, Joe Hart, James Milner, David Silva, Micah Richards, Mario Balotelli, Samir Nasri, Gael Clichy, Edin Dzeko, dan Joleon Lescott. Namun kesempatan beraksi menentang juara Liga Perdana Inggeris ini menjadi pengalaman berguna skuad kebangsaan dalam memantapkan lagi pasukan sebagai persedian menghadapi Piala AFF November ini.

Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagopal berpuas hati dengan persembahan pemain-pemainnya dan sudah mempunyai bayangan kesebelasan utama untuk Kejohanan Piala AFF nanti.

This entry was posted in Perlawanan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply