[PERPINDAHAN] SANTI CAZORLA SAH MILIK ARSENAL

Santi Cazorla secara rasminya menyertai Arsenal dengan menandatangani kontrak jangka masa panjang. Pemain antarabagsa Sepanyol ini meninggalkan kelab La Liga, Malaga dengan yuran perpindahan dianggarkan bernilai £12 juta. Musim lalu, Cazorla mnjadi kunci kejayaan Malaga mencipta sejarah menamatkan saingan La Liga di tempat keempat sekaligus layak beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali dalm sejarah kelab yang berpangkalan di Malaga, Andalusia itu.

Santi Cazorla merupakan pemain tengah versetail yang turut cemerlang beraksi di posisi sayap kanan atau kiri telah melakukan 45 penampilan bersama skuad utama Sepanyol dan merupakan sebahagian daripada skuad yang menjulang kejuaraan EURO 2008 dan 2012. Namun, pemain berusia 27 tahun ini diketepikan dari skuad Piala Dunia Sepanyol 2010 kerana mengalami kecederaan hernia.

Sebelum menyertai Malaga pada musim panas 2011, Cazorla menghabiskan 7 musim bersama Villareal dengan melakukan 181 kemunculan bersama skuad Yellow Submarine di mana berjaya membantu Villareal muncul naib juara La Liga pada 2008. Cazorla pernah menghabiskan musim 2006/07 selaku pemain pinjaman bersama Recreativo.

Pengurus Arsenal, Arsène Wenger berkata : “Santi Cazorla adalah pembelian hebat bagi kami. Dia (Cazorla) memiliki pengalaman yang luas bersama kelab dan di peringkat antarabangsa di mana kualiti yang sangat diperlukan oleh skuad Arsenal.”

“Cazorla merupakan pemain yang versetail, seorang pemain tengah menyerang yang boleh beraksi di kiri, kanan atau tengah. Dia juga memiliki kelincahan, satu anugerah besar dan bakal menjadi aset besar bagi Arsenal. Kami sangat gembira dia menyertai kami.”

Santi Cazorla pernah diundi sebagai calon untuk anugerah Pemain Sepanyol Terbaik pada tahun 2007 berkata : “Saya sangat gembira kerana dapat menyertai Arsenal. Kelab ini memiliki pemain-pemain yang hebat, stadium yang mengagumkan dan sokongan yang padu oleh peminat-peminat.”

“Arsenal memiliki salah seorang pengurus bola sepak terbaik di dunia dan gaya pemainannya sangat dikenali serta diminati oleh peminat di seluruh dunia.”

“Saya sangat teruja menyertai kelab yang memiliki reputasi besar di pentas Eropah dan Liga Perdana Inggeris. Saya akan melakukan yang terbaik untuk membantu Arsenal menjulang kejuaraan dan mengembirakan semua penyokong-penyokong,” kata pemain antarabangsa Sepanyol itu.

Santi Cazorla turut memberitahu media bahawa dia telah mendapatkan nasihat daripada dua bekas pemain Arsenal, Robert Pires dan Cesc Fabregas di mana kedua-duanya memberi respons yang positif dan sangat mengalu-alukan kehadiran Cazorla menyertai Arsenal.

“Saya telah bercakap dengan (Robert) Pires di mana kami pernah beraksi bersama di Villareal dan dia mendorong saya menyertai Arsenal. Pires memberitahu bahawa Arsenal sebuah kelab yang bagus dan saya akan gembira dengan kehidupan di London nanti.”

“Begitu juga dengan Fabregas. Dia memberitahu bahawa Arsenal merupakan kelab yang hebat. Cesc berkata saya akan gembira di Arsenal dan dapat menyesuaikan diri dengan mudah. Saya dapat merasakan apa yang diperkatakan oleh Fabregas walaupun baru beberapa jam menyertai The Gunners,” kata Cazorla lagi kepada Arsenal Player.

Santi Cazorla kini bersama-sama menjalani latihan di Jerman bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang FC Cologne 12 Ogos ini. Kami dari arsenal4u.com turut mengalu-alukan kehadiran pemain antarabangsa Sepanyol ini dan mengucapkan selamat maju jaya buat Santi Cazorla.

This entry was posted in Perpindahan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply