[PERPINDAHAN] ROBIN VAN PERSIE SEMAKIN HAMPIR SERTAI MANCHESTER UNITED

Arsenal FC mengesahkan bahawa telah bersetuju dengan terma perpindahan Robin van Persie ke Manchester United. Pemenang Anugerah Kasut Emas EPL 2011/12 dan Pemain Terbaik PFA 2011/12 itu bakal menjalani pemeriksaan kesihatan bersama United hari ini sebelum mengikat kontrak secara rasminya. Musim lalu, kapten Arsenal ini muncul selaku penjaring gol utama Arsenal dengan menjaringkan 37 gol daripada 48 perlawanan bersama The Gunners.

Penyerang berusia 29 tahun itu dilaporkan bakal menjalani pemeriksaan kesihatan di Old Trafford sebelum melengkapkan perjanjian perpindahan dianggarkan bernilai £24 juta. Arsenal bersedia melepaskan Robin van Persie yang enggan menandatangani kontrak baru dengan kontrak bakal tamat musim panas tahun hadapan. Robin van Persie bakal menjadi permain pertama Arsenal yang menyertai Man United secara terus sejak era Liga Perdana Inggeris bermula pada musim 1992/93.

Sementara itu, Arsene Wenger turut bersedih dengan kehilangan Robin van Persie namun Arsenal telah mengambil langkah kehadapan untuk mengelakkan situasi permulaan buruk awal musim lalu ekoran pemergian Cesc Fabregas dan Samir Nasri berulang lagi. Kehadiran Lukas Podolski dan Olivier Giroud merupakan persediaan Arsenal yang berkemungkinan bakal kehilangan penyerang Belanda itu musim ini.

“Perpindahan (van Persie) akan berlaku. Kami bersedih kehilangan seorang pemain sepertinya. Dia memiliki kontrak berbaki setahun dan kami tidak mempunyai pilihan lain,” kata Arsene Wenger kepada French TV.

“Namun kami telah bersedia dan telah menandatangani (Lukas) Podolski dan (Olivier) Giroud (untuk mengantikan Robin van Persie),” kata Wenger lagi.

This entry was posted in Perpindahan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply