[PERPINDAHAN] 10 PEMBELIAN TERBAIK ARSENAL SEJAK JANUARI 2010

Arsenal telah menandatangani 18 pemain sejak Januari 2010 sehingga kini termasuk Samuel Galindo, Sol Campbell, Marouane Chamakh, Kyle Ebecilio, Laurent Koscielny, Sebastian Squillaci, Ryo Miyachi, Carl Jenkinson, Gervinho, Alex, Oxlade-Chamberlain, Joel Campbell, Park Chu-Young, Andre Santos, Mikel Arteta, Per Mertesacker, Thomas Eisfeld, Lukas Podolski dan Olivier Giroud. Berikut disenaraikan 10 pembelian terbaik Arsenal :-

1-Alex Oxlade-Chamberlain

Alex Oxlade-Chamberlain menyertai Arsenal dari kelab Divisyen 1, Southampton dengan yuran perpindahan bernilai £12 juta pada 8 Ogos 2011. Persembahan dan kualiti yang dipamerkan oleh ‘The Ox’ menjawab persoalan mengapa Arsene Wenger sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk seorang pemain berusia 17 tahun.

Kecemerlangan Oxlade-Chamberlain ketika menentang Manchester United dan Blackburn Rovers mendorong pengurus England, Roy Hodgson menyenaraikan pemain muda ini dalam skuad  England ke kejohanan EURO 2012. Oxlade-Chamberlain turut mencipta sejarah menjadi pemain Inggeris termuda menjaringkan gol dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah ketika melakukan debutnya menentang Olympiakos pada 28 September 2011 ketika berusia 18 tahun 44 hari.

2-Laurent Koscielny

Pemain kelahiran Tulle, Perancis ini berhijrah ke Arsenal dari kelab Ligue 1, Lorient dengan yuran perpindahan dianggarkan bernilai £8.5 juta pada 7 Julai 2010. Walaupun, Laurent Koscielny menerima kecaman dan kritikan daripada peminat-peminat pada musim pertamanya, namun pertahanan antarabangsa Perancis itu berjaya bangkit dengan menampilkan aksi yang cemerlang sepanjang musim lalu.

Laurent Koscielny melakukan debut pertamanya bersama Arsenal pada 15 Ogos 2010 ketika menentang Liverpool di Anfield di mana dia telah dilayangkan kad merah pada minit ke-94. Koscielny telah berjaya menjaringkan gol pertamanya bersama Arsenal ketika menewaskan Bolton 4-1 pada 11 September 2010. Meskipun baru dua musim bersama Arsenal, Koscielny telah melakukan 85 penampilan dan menjaringkan 6 gol setakat ini.

3-Mikel Arteta

Mikel Arteta menyertai Arsenal dari kelab Liga Perdana Inggeris, Everton dengan menandatangani kontrak selama 4 tahun dengan yuran perpindahan bernilai £10 juta. Pemain berusia 30 tahun berjaya mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Cesc Fabregas dan Samir Nasri apabila berjaya mengemudi jentera tengah Arsenal untuk menduduki kedudukan ketiga liga meskipun melalui permulaan buruk di awal musim.

Kehadiran Arteta yang membentuk gandingan mantap bersama Alex Song berjaya membantu Robin van Persie muncul selaku penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris musim lalu dengan 30 gol. Pemain kelahiran Sepanyol ini melakukan debut pertamanya bersama Arsenal ketika Arsenal menewaskan Swansea 1-0 pada 10 September 2011. Musim lalu, Mikel Arteta berjaya beraksi sebanyak 38 kali dengan menjaringkan 6 gol serta 3 assist.

4-Lukas Podolski

Lukas Podolski diumumkan secara rasminya menyertai Arsenal dari kelab Bundesliga, Cologne pada 30 April lalu dengan bayaran perpindahan dianggarkan bernilai £11.5 juta. Musim lalu, penyerang Jerman ini berjaya menjaringkan 18 gol daripada 29 perlawanan Bundesliga. Lukas Podolski  turut cemerlang bersama skuad kebangsaan Jerman dengan berjaya mendapat 101 caps antarabangsa dan menjaringkan 44 gol sehingga kini.

5-Olivier Giroud

Penyerang antarabangsa Perancis ini menyertai Arsenal dari kelab Ligue 1, Montpelier dengan yuran perpindahan bernilai £13 juta. Pemain berusia 25 tahun ini muncul penjaring terbanyak Ligue 1 musim lalu dengan 21 gol. Meskipun Montpelier meletakan harga £50 juta untuk Giroud namun Arsene Wenger berjaya mendapatkannya dengan harga yang lebih rendah. Kehadiran Olivier Giroud bakal menambahkan lagi kekuatan di bahagian jentera serangan Arsenal musim ini.

6-Per Mertesacker

Pertahanan antarabangsa Jerman ini menyertai Arsenal dari kelab Jerman, Werder Bremen dengan yuran perpindahan dianggarkan bernilai £10 juta pada 31 Ogos 2011. Pemain berusia  27 tahun ini sering dikritik kerana tidak memiliki kepantasan dalam menyaingi gerakan pantas lawan, namun pertahanan yang memiliki ketinggian 1.98m ini mempunyai kelebihan dalam situasi bola tinggi dan terjahan tepat. Per Mertersacker memiliki 81 caps antarabangsa bersama skuad kebangsaan Jerman bakal membentuk trio pertahanan kental bersama Laurent Koscielny dan Thomas Vermaelen.

 7-Ryo Miyachi

Ryo Miyachi menyertai Arsenal setelah cemerlang dalam ujian percubaan pada musim panas 2010. Pemain kelahiran Jepun ini beraksi bersama Chukyodai Chukyo High School sebelum berhijrah ke Emirates. Pemain berusia 19 tahun ini menandatangani kontrak professional 31 Januari 2011. Meskipun menghabiskan dua musim lalu sebagai pemain pinjaman bersama Feyenoord dan Bolton Wanderers. Ryo Miyachi beraksi diposisi sayap kiri memiliki kelebihan dari segi kepantasan dan kemahiran individu yang tinggi.

8-Thomas Eisfeld

Thomas Eisfeld meninggalkan kelab Jerman, Borussia Dortmund untuk menyertai Arsenal pada Januari lalu dengan bayaran pampasan bernilai £600,000. Pencapaian cemerlang pemain berusia 19 tahun ini bersama skuad Borussia Dortmund B-19 dengan menjaringkan 6 gol dan menghasilkan 6 assist daripada hanya 12 perlawanan sahaja berjaya memikat pengurusan Arsenal. Prospek muda Jerman ini turut cemerlang sepanjang sesi jelajah Asia 2012 dengan berjaya meledak 2 gol daripada 3 perlawanan.

9-Gervinho

Pemain antarabangsa Ivory Coast ini berhijrah dari kelab Ligue 1, Lille untuk menyertai Arsenal dengan yuran perpindahan bernilai £10.8 juta pada 12 Julai 2011. Gervinho melakukan debut ketika menentang Newcastle United pada 13 Ogos tahun lalu dan telah dilayangkan kad merah pada minit ke-72. Bekas kapten skuad Ivory Coast B-21 ini telah melakukan 34 penampilan bersama Arsenal musim lalu dengan menjaringkan 4 gol dan menghasilkan 8 assist. Pemain berusia 25 tahun ini memiliki kemahiran mengelecek yang bagus dan kepantasan serta hantaran yang tepat.

10-Andre Santos

Pemain kelahiran Brazil ini menyertai Arsenal dari kelab Turki, Fenerbahce dengan bayaran berjumlah £6.2 juta. Andre Santos merupakan pemain yang versetail yang boleh beraksi selaku pemain sayap kiri meskipun sering beraksi di posisi bek kiri. Pemain berusia 29 tahun ini melakukan debutnya bersama Arsenal dalam Liga Perdana Inggeris ketika Arsenal tewas 3-4 kepada Blackburn Rovers pada 17 September 2011 dan menjaringkan gol pertama bersama Arsenal ketika perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Olympiakos pada 28 September 2011. Sepanjang musim lalu, Santos telah beraksi dalam 21 perlawanan bersama Arsenal dan menjaringkan 3 gol.

Arsenal kini dikaitkan dengan perpindahan beberapa pemain ke Emirates termasuk Santi Carzola, Nuri Sahin, Yann M’villa, M’Baye Niang, Clint Dempsey, Hugo Lloris dan lain-lain lagi dilihat sebagai usaha Arsene Wenger untuk mengukuhkan pasukan bagi menghadapi saingan musim baru dan menamatkan 8 musim kemarau kejuaraan.

Dikemaskini pada 4 Ogos 2012

This entry was posted in Informasi, Perpindahan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply