[BADMINTON] LEE CHONG WEI TETAP WIRA DI HATI RAKYAT MALAYSIA

Impian kontijen Malaysia untuk meraih emas pertama di Sukan Olimpik berkecai apabila sandaran utama negara, Datuk Lee Chong Wei tewas kepada seteru utamanya dari China, Lin Dan dalam penentuan pingat emas di Arena Wembley semalam. Kegagalan itu turut dikongsi oleh jutaan rakyat Malaysia yang menanti penuh debaran dalam perlawanan sengit yang berlarutan 79 minit sehingga ke set penentuan.

Lee Chong Wei yang baru pulih dari kecederaan yang dialaminya Mei lalu berjaya mengimbangi rentak pemain no.1 dunia dari China itu sehingga terikat 8-8. Beberapa kesilapan mudah oleh Lin Dan membolehkan pemain badminton negara berusia 30 tahun itu berjaya menjarakan diri dan memenangi set pertama dengan 21-15.

Set kedua Lin Dan berjaya bangkit dengan asakan-asakan kemas di samping kesilapan mudah yang dilakukan oleh Lee Chong Wei berjaya memenangi dengan 10-21. Kedua-dua pemain terus berentap sengit dalam set penentuan dengan saling berkejaran mata sehingga terikat 19-19. Namun, akhirnya Lee Chong Wei terpaksa akur dengan kekalahan 19-21 di set ketiga.

Kekalahan ini gagal menebus kegagalan di Olimpik Beijing 2008 apabila tewas kepada lawan yang sama di pentas akhir. Temasya Olimpik London 2012 juga merupakan medan terakhir buat Chong Wei untuk mencapai impiannya namun anak kelahiran Bukit Mertajam itu terus menemui kegagalan. Jaguh badminton negara itu turut menghambur kekecewaan dan meminta maaf kepada rakyat Malaysia di atas kegagalannya semalam.

“Saya minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana masih gagal menghadiahkan pingat emas buat kali kedua,” kata pemain perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei.

Chong Wei berkata, tiada siapa tahu penderitaan dan pengorbanannya beraksi di Arena Wembley terutama selepas pulih daripada kecederaan buku lali kanan yang dialaminya semasa Piala Thomas pada Mei lepas.

“Saya terpaksa berehat hampir dua bulan selepas kecederaan itu sedangkan Sukan Olimpik semakin hampir. Tekanan bagi mendapatkan emas semakin kuat tetapi kecederaan menghalang saya untuk berlatih,” katanya.

“Di University of Bath, baru saya dapat berjogging, melakukan latihan di gimnasium dan latihan berat lain.”

“Prestasi ketika itu dapat diterjemahkan bila saya terpaksa bermain di rubber-set ketika menentang pemain tidak ternama, Ville Lang dari Finland dalam perlawanan peringkat Kumpulan A,” katanya lagi.

“Kehadiran Lin Dan memaksa saya berusaha lebih kuat untuk menewaskannya. Saya rasa Lin Dan juga menghargai kehadiran saya yang selalu membayanginya,” kata Chong Wei.

Beliau berkata, “Sukan Komanwel di Glassgow, Scotland pada 2014 mungkin menjadi temasya terakhirnya.”

“Umur saya sudah 30 tahun. Olimpik di Brazil empat tahun lagi dan usia saya sudah tua,” katanya secara berseloroh.

Ketua jurulatih perseorangan badminton negara Rashid Sidek turut mengakui kehebatan jaguh badminnton negara Tembok Besar itu. Lin Dan sememang berada pada kelas yang tersendiri apabila berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya 4 tahun lalu.

“Lin Dan mempunyai jawapan terhadap apa sahaja yang dilakukan oleh Chong Wei. Dia (Lin Dan) memang tidak goyah pada perlawanan hari ini (semalam),” kata Rashid Sidek selepas tamat perlawanan semalam.

“Kedua-dua pemain bermain dengan baik. Rentak mereka seimbang dan kita dapat saksikan banyak mata diperoleh daripada beberapa kesilapan yang mereka lakukan.

“Namun, Lin Dan dilihat lebih agresif pada set kedua. Pada ketika dia hilang arah tetapi apabila dia mendapat semula rentaknya, dia banyak memerangkap Chong Wei. Serangan Lin Dan juga banyak memberikannya mata dan dia juga cepat membaca rentak permainan Chong Wei.”

“Chong Wei sudah mengeluarkan segala-galanya untuk mematikan langkah Lin Dan tetapi dia tetap ada jawapan terhadap asakan Chong Wei. Lin Dan memang betul-betul bersedia untuk menghadapi apa sahaja strategi Chong Wei pada perlawanan semalam,” kata Rashid Sidek yang pernah memenangi pingat gangsa pada temasya Olimpik 1996 di Atlanta.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Olimpik 2012, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid menyifatkan pencapaian Chong Wei seperti ‘hampir mencapai puncak Everest’.

“Dia bermain amat baik dan telah mengeluarkan segala kebolehan dan pengalamannya namun Lin Dan pemain yang lebih baik,” kata Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Manakala Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embon mengatakan bahawa kekalahan Chong Wei amat menyedihkan tetapi tidak menganggapnya sebagai satu kegagalan.

“Chong Wei telah berikan yang terbaik berbanding ketika pertemuan kedua-dua pemain itu di Beijing. Dia cuma tidak bernasib baik,” kata Datuk Seri Zolkples Embong.

Terdahulu, gandingan beregu negara Koo Kien Kiat-Tan Boon Heong terlepas pingat gangsa apabila tumpas 21-23, 10-21 ditangan beregu no.1 dunia dari Korea Selatan, Chung Jae Sung-Lee Yong Dae pada perlawanan penentuan pingat gangsa acara badminton beregu lelaki dalam masa 45 minit.

Incoming search terms:

  • usaha-usaha yang dilakukan oleh lee chong wei
This entry was posted in Badminton, Sukan Antarabangsa. Bookmark the permalink.

Leave a Reply