[INFO] 10 FAKTA MENARIK MENGENAI SANTI CAZORLA

Arsenal berjaya menandatangani pemain tengah Sepanyol, Santi Cazorla dari kelab La Liga, Malaga awal minggu lalu dengan yuran perpindahan dianggarkan bernilai £11.9 juta (€15 juta) + £4.7 juta (€6 juta) bayaran tambahan. Cazorla merupakan pemain ketiga yang ditandatangani oleh Arsene Wenger pada jendela perpindahan musim panas ini selepas Lukas Podolski dan Olivier Giroud.

Santi Cazorla atau nama sebenarnya Santiago Cazorla González dilahirkan pada 13 Disember 1984 di Llanera, Asturias, Sepanyol telah memulakan karier bola sepaknya bersama kelab tempatan di Asturias, Real Oviedo ketika berusia 14 tahun sebelum berhijrah ke Villareal pada 2002. Pemain berusia 27 tahun ini bakal menjadi sebahagian daripada nadi kekuatan Arsenal bagi mengharungi saingan musim baru yang bakal bermula 18 Ogos ini. Di sini disenaraikan 10 fakta menarik mengenai Santi Cazorla.

1-DARAH KUNING CAZORLA

Meskipun karier bola sepaknya bermula di Real Oviedo namun Cazorla gagal melakukan penampilan bersama kelab tempatan Asturias itu. Bakatnya mula terserlah setelah menyertai Villareal B beberapa hari selepas ulang tahun kelahiran ke-18 pada 2002 di mana Cazorla berjaya melakukan 40 penampilan dan menjaringkan 4 gol pada musim pertamanya. Kecemerlangannya menyaksikan Cazorla terus diserap ke dalam skuad utama Villareal dan telah beraksi sebanyak 240 penampilan dengan menjaringkan 34 gol sepanjang 7 musim bersama Yellow Submarine. Villareal terpaksa menjual Cazorla kepada Malaga pada musim panas 2011 selepas mengalami krisis kewangan kelab yang teruk.

2-PEMAIN YANG VERSETAIL

Cazorla merupakan seorang pemain tengah menyerang namun pemain kelahiran Llanera turut cemerlang beraksi di posisi sayap kanan dan kiri selain mampu beraksi selaku penyerang kedua (shadow striker). Kelebihan ini bakal menjadi aset Arsene Wenger dalam menghadapi krisis kecederaan serius yang sering menghantui skuad Arsenal kebelakangan ini. Selain itu, kehadiran Cazorla juga bakal memberi kelainan dalam percaturan taktikal Arsenal musim ini.

3-PEMAIN TERBAIK TAHUNAN SEPANYOL 2007

Pada musim 2006/07, Santi Cazorla telah meninggalkan Villareal untuk menyertai Recreativo dengan bayaran perpindahan bernilai €3,990,000 dengan kontrak 4 tahun namun Villareal mengambil keputusan membeli semula Cazorla dengan nilai €1.2 juta. Perpindahan ke Recreativo berjaya mengubah corak permainannya dan Cazorla berjaya menampilkan aksi yang cemerlang sekaligus dipilih selaku Pemain Terbaik Tahunan Sepanyol bagi tahun 2007. Aksi Cazorla berjaya memikat hati kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid namun Cazorla menafikannya dengan menyata kesetiaan untuk terus beraksi bersama Yellow Submarine.

4-KEJAYAAN MENJULANG KEJOHANAN EURO

Santi Cazorla merupakan sebahagian daripada skuad kebangsaan Sepanyol yang menjulang kejuaraan EURO 2008 di bawah kendalian Luis Aragonés meskipun hadir selaku pemain gantian. Namun, namanya diketepikan daripada skuad Piala Dunia Sepanyol 2010 kerana mengalami kecederaan yang serius. Namun, dia kembali mendapat tempat dalam skuad utama Sepanyol di bawah bimbingan Vicente del Bosque dan beraksi selaku pemain gantian ketika membantu Sepanyol menjulang kejuaraan EURO 2012 yang berlangsung di Poland dan Ukraine.

5-PAKAR SEPAKAN PERCUMA

Arsenal ketandusan pemain yang berkebolehan melakukan sentuhan bola mati dengan bergantung kepada Robin van Persie dan Mikel Arteta musim lalu. Namun, kehadiran Cazorla bakal memberi kelebihan buat Arsenal kerana dia sememangnya memiliki teknik dan kemahiran dalam menjaringkan gol menerusi sepakan percuma. Musim lalu, Cazorla telah menjaringkan beberapa gol menerusi situasi bola mati bersama Malaga. Kelebihan ini memberi impak yang besar kepada Arsenal dalam merobek gawang lawan musim ini.

6-HANTARAN TEPAT YANG BAGUS

Kehadiran Cazorla bakal memberi dimensi baru di bahagian tengah Arsenal lantaran Cazorla memiliki kelebihan dalam melakukan hantaran-hantaran tepat. Kreativiti dalam mencipta ruang sangat diperlukan bagi Arsenal dalam mencipta jaringan. Musim lalu, Cazorla muncul antara pemain-pemain terbaik yang melakukan hantaran-hantaran tepat dalam La Liga. Gandingan Alex Song, Mikel Arteta dan Santi Cazorla diramal bakal mengegar saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.

7-TONGGAK UTAMA MALAGA

Santi Cazorla merupakan tonggak utama kejayaan Malaga musim lalu apabila berjaya menamatkan saingan La Liga di kedudukan ke-4 sekaligus bakal beraksi dalam pusingan play-off kelayakan Liga Juara-Juara Eropah. Cazorla merupakan seorang pemain yang sukar diramal dan memiliki kreativiti dalam mencipta ruang buat barisan serangan. Kehadiran Santi Cazorla bakal memberi impak buat jentera serangan Arsenal musim ini.

8-CORAK PERMAINAN YANG SESUAI DENGAN ARSENAL

Pemain antarabangsa Sepanyol memiliki kemahiran kawalan bola yang bagus dengan melakukan hantaran pendek dan tepat sangat sesuai dengan corak permainan Arsenal. Selain itu, Cazorla mempunyai semangat kerjasama sepasukan yang tinggi sekaligus bakal melancarkan pergerakan dan percaturan yang direncana oleh Arsene Wenger. Lantaran itu, Cazorla dilihat tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan Arsenal.

9-KEBOLEHAN MENJARINGKAN GOL JARAK JAUH

Santi Carzola memiliki kelebihan dalam melakukan jaringan dari jarak jauh dilihat satu lagi aset buat Arsenal musim ini. Musim lalu, Cazorla muncul pemain kedua terbanyak menjaringkan untuk kelab Malaga selepas Salomón Rondón dengan 9 gol daripada 34 perlawanan di mana 8 gol tersebut dijaringkan dari luar kotak penalti. Kehadiran Cazorla bakal mempelbagaikan corak serangan Arsenal bagi menghadapi saingan musim baru.

10-KECEDERAAN SERIUS PADA 2010

Pemain berusia 27 tahun ini pernah dihimpit kecederaan serius pada musim 2009/10 sekaligus diketepikan dari skuad Piala Dunia Sepanyol 2012. Santi Cazorla mengalami keretakan tulang fibula pada April 2009 ketika beraksi menentang Almeria dalam saingan La Liga. Dia sekali mengalami kecederaan pada awal tahun 2010 dan terpaksa berehat untuk beberapa tempoh. Namun, Cazorla berjaya bangkit dari episod duka apabila membantu Villareal menamatkan saingan dikedudukan ke-4 La Liga pada musim 2010/11.

Incoming search terms:

  • keistimewaan cazorla
  • kelebihan santi cazorla
This entry was posted in Informasi. Bookmark the permalink.

Leave a Reply