[EPL] MANCHESTER CITY JULANG PERISAI KOMUNITI 2012/13

Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) 2011/12, Manchester City memulakan musim baru dengan langkah kanan apabila cemerlang menewaskan Chelsea untuk menjulang Perisai Komuniti 2012. Skuad kendalian Roberto Mancini bangkit dari ketinggalan 0-1 untuk menewaskan juara Piala FA, Chelsea 3-2 yang terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas Branislav Ivanovic dilayangkan kad merah di Villa Park, Birmingham Ahad lalu.

Perlawanan rancak sebaik wisel permula dibunyikan dengan aksi berbalas serangan oleh kedua-dua pasukan. Drama separuh masa pertama bermula dengan Torres berjaya memecah kebuntuan buat Chelsea pada minit ke-40 selepas menerima hantaran Ramires sebelum melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol City, Costel Pantilimon. Namun, Chelsea dikejutkan dengan layangan kad merah oleh Kevin Friend ke atas Branislav Ivanovic yang melakukan terjahan berbahaya ke atas pertahanan City, Aleksandar Kolarov tiga minit sebelum rehat.

The Citizen memanfaatkan kelebihan tersebut apabila berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-53 hasil rembatan leret Yaya Toure selepas John Terry gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya. Pemain antarabangsa Argentina, Carlos Tevez pula terus memberikan keselesaan buat City apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-59 menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.

Skuad The Blues terus dirundung malang apabila Samir Nasri berjaya menyempurnakan hantaran silang Kolarov untuk gol ketiga City pada minit ke-65. Meskipun Chelsea berjaya merapatkan jurang menerusi jaringan Ryan Bertrand pada minit ke-79 yang merembat masuk bola muntah hasil kesilapan penjaga gol City, Costel Pantilimon namun gol tersebut sudah terlambat untuk mengahalang kemenangan City.

Kemenangan tersebut menamatkan penantian 40 tahun Manchester City yang pernah menjuarai Perisai Komuniti sebanyak empat kali iaitu 1937, 1968 dan 1972. Tahun lalu, City tewas kepada Manchester United 2-3.

Sementara itu, Manchester City berjaya menandatangani pemain muda Everton, Jack Rodwell dengan bayaran dianggarkan bernilai £12 juta untuk kontrak 5 tahun. Pemain tengah berusia 21 tahun itu telah melakukan 85 penampilan dan menjaringkan 5 gol sepanjang bersama Everton. Pemain kelahiran England ini bakal menyarung jersi bernombor 17 merupakan pemain pertama yang ditandatangani oleh  Roberto Mancini musim ini.

This entry was posted in EPL. Bookmark the permalink.

Leave a Reply