[BOLA SEPAK] MEXICO KECEWAKAN BRAZIL DI PENTAS AKHIR OLIMPIK LONDON 2012

Impian skuad bola sepak Brazil untuk merangkul pingat emas Sukan Olimpik buat kali pertama berkecai apabila tumpas 1-2 kepada Mexico pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Wembley, London Sabtu lalu. Kekecewaan jelas dirasai oleh The Selecao setelah kali ketiga mara ke final termasuk pada tahun 1984 dan 1988 namun sekadar mampu meraih pingat perak selain pingat gangsa pada 1996 dan 2008.

Mexico pantas memanfaatkan kesilapan bek kanan Manchester United, Rafael da Silva yang tersilap melakukan hantaran pantas dihukum oleh Oribe Peralta ketika perlawanan baru bermula 29 saat. Rembatan kencang Peralta dari jarak 20 m berjaya menewaskan Gabriel, penjaga gol Brazil sekaligus mencipta sejarah menjadi gol paling pantas dalam temasya Olimpik sejak mula dipertandingkan pada 1976.

Skuad kendalian Mano Menezes menguasai perlawanan dan mengasak kubu Mexico termasuk menerusi gandingan Neymar dan Leandro Damiao namun masih gagal memperoleh gol penyamaan. Sebaliknya, Mexico yang sekali sekala melakukan serangan balas berjaya memperoleh gol kedua juga menerusi Peralta setelah menanduk masuk sepakan percuma dari sebelah kanan oleh Marco Fabian pada mint ke-76.

Brazil melepas peluang keemasan apabila Oscar dan Leandro Damiao gagal meyempurnakan peluang terhidang meskipun gawang Mexico terbuka luas. Namun, Brazil akhirnya berjaya memperolehi gol saguhati pada minit ke-90 menerusi penyerang Porto, Hulk namun sudah terlewat untuk menghalang Mexico untuk memenangi pingat emas.

Sementara itu, Korea Selatan pula berjaya meraih pingat pertama dalam acara bola sepak di Sukan Olimpik selepas berjaya menewaskan Jepun 2-0 di Stadium Milennium Cardiff pada Jumaat lalu. Penyerang Arsenal, Park Chu-Yong melakukan gerakan solo mengelecek 3 pertahanan sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol Jepun pada minit ke-38. Kapten Korea Selatan, Koo Ja-Cheol melengkapkan kemenangan bergaya menerusi jaringan pada minit ke-49 setelah menerima hantaran Ji Dong-Won.

This entry was posted in Bola Sepak, Sukan Antarabangsa. Bookmark the permalink.

Leave a Reply