[PERSAHABATAN] MALAYSIA JANJI SAINGI KEHEBATAN ARSENAL

Skuad kendalian Arsene Wenger tidak mengambil mudah kemampuan skuad kebangsaan Dato’ K.Rajagopal meskipun mudah membenam Malaysia 4-0 dalam aksi 13 Julai tahun lalu. Kekalahan itu memberi pengajaran dan pengalaman menjadi azimat menjana semangat skuad kebangsaan bagi memantapkan lagi mutu persembahan dan kualiti permainan dalam usaha untuk kembali menjadi pasukan yang digeruni di rantau dan Asia.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan bakal berlangsung malam ini bermula pukul 9.30 malam di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Skuad Arsenal tiba di Malaysia pada 22 Julai lalu dengan pelbagai program yang padat diatur untuk sesi bertemu peminat bola sepak di Malaysia khususnya dan juga dari Indonesia, Thailand dan Singapura.

Harimau Malaya bakal tampil penuh semangat untuk cuba menyaingi kehebatan anak-anak buah Arsene Wenger yang memiliki reputasi yang cukup tinggi. Namun, khabar kurang enak dari kem negara apabila beberapa pemain utama seperti Safee Sali, Ahmad Syakir Md. Ali, Khairul Fahmi Che Mat dan K. Gurusamy mengalami kecederaan selain terpaksa beraksi pada bulan Ramadhan sedikit menjejaskan prestasi pemain-pemain negara.

Biarpun pelbagai dugaan dihadapi oleh skuad negara kini, namun pengendali skuad kebangsaan Dato’ K. Rajagopal enggan ‘mengibarkan bendera putih’ sebelum berjuang malah optimis anak-anak buahnya mampu tampil dengan aksi yang lebih mencabar kali ini. Biarpun tidak mahu menjanjikan keajaiban lantaran jurang ketara antara kedua-dua pasukan bagaikan langit dengan bumi, K.Rajagogal mahu barisan pemainnya menimba pengalam sebaik mungkin sebagai persedia untuk mempertahankan Piala AFF November depan.

“Bohong jika saya katakan ketiadaan beberapa pemain utama seperti Safee Sali dan Khairul Fahmi tidak dirasai,” kata Dato’ K. Rajagopal kepada pihak media semalam.

“Jadi, saya cabar pemain-pemain lain membuktikan keupayaan masing-masing supaya mereka juga berhak beraksi dalam kesebelasan utama,” kata Rajagobal.

Ketika ditanya adakah beliau bakal mempertaruhkan kredibiliti peledak berbisa Harimau Muda, Rozaimi Abdul Rahman malam ini, lantaran Safee dan Ahmad Syakir masih belum pasti diturunkan gara-gara kecederaan, Rajagobal memberitahu: “Masih terlalu awal untuk mengenal pasti kesebelasan utama.

“Saya tidak mahu fokus kepada seseorang pemain sahaja, sebaliknya memberi tumpuan menyeluruh kepada pasukan termasuk aspek kecergasan pemain. Kita bermain di padang yang sama serta menggunakan bola yang sama. Jadi, tidak ada alasan untuk kita takut dengan Arsenal. Hormat boleh, gentar tidak sama sekali,” katanya lagi.

Sementara itu, Arsenal pula bakal tampil tanpa beberapa nama besar yang diketepikan ekoran pelbagai masalah antaranya Robin van Persie, Laurent Koscielny, Lukas Podolski, Olivier Giroud, Tomas Rosicky, Per Mertesacker, Jack Wilshere, Aaron Ramsey, Andrey Arshavin dan Bacary Sagna.

This entry was posted in Perlawanan, Pra-Perlawanan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply