[BERITA] PEMAIN HARIMAU MUDA DINTAI KELAB LUAR NEGARA

Selepas kejayaan Nazmi Faiz Mansor mengikat kontrak 3 tahun bersama kelab Divisyen 1 Portugal, SC Beira-Mar dan kapten Malaysia B-18, Ariff Zulkifly yang kini beraksi bersama kelab Divisyen 2 New Zealand, Island United Bay AFC, kini beberapa pemain muda negara turut diintai oleh kelab luar negara. Pemain skuad Harimau Muda, Wan Zaharulnizam Zakaria dan Wan Zack Haikal Wan Noor kini berpeluang mempamerkan aksi terbaik pada ujian percubaan dengan kelab Divisyen 3 Liga Jepun, FC Ryukyu.

Kedua-dua tonggak Harimau Muda A itu telah berlepas ke Jepun 12 Julai lalu untuk menjalani ujian bersama kelab yang berpangkalan di Okinawa itu selama dua minggu. Kelibat kedua-dua pemain ini berjaya memikat ejen pencari bakat Japan Dream FA, Masao Kiba menerusi aksi pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik London 2012 di Tosu, Jepun September tahun lalu. Jika berjaya dalam tempoh percubaan itu, mereka berpeluang untuk menempa nama selaku pemain Malaysia pertama beraksi di negara kuasa besar bola sepak Asia, Jepun.

Wan Zaharulnizam (21) nyata bersemangat untuk menghadapi sesi ujian ini berkata :“Saya ke sana bukan hanya suka-suka tapi mahu beraksi dengan kelab itu. Setakat ini saya tidak dimaklumkan lagi mengenai program sepanjang berada di sana tapi saya sudah membuat persediaan rapi dari segi mental dan fizikal.”

“Mungkin ada yang cakap Ryukyu hanya kelab Divisyen Tiga tapi bagi saya liga Divisyen Tiga Jepun tetap kompetitif dan berbeza dengan liga kita,” kata Wan Zaharulnizam atau lebih dikenali sebagai Kecik.

Wan Zaharulnizam, 21, yang memiliki kepantasan beraksi di posisi sayap kiri berkata, dia bersemangat untuk berhijrah ke luar negara selepas mendapat dorongan jurulatih Ong Kim Swee dan ahli keluarganya.

“Ini kali kedua saya ke Jepun, sebelum ini ke sana ketika bersama skuad Olimpik negara menentang Jepun. Saya berharap usaha kami berdua ini berjaya,” katanya yang kini bebas daripada masalah hamstring.”

Semangat itu turut dikongsi bersama, pemain sayap kanan, Wan Zack Haikal (21) yang tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan Ryukyu.

“Impian memang nak bermain di peringkat lebih tinggi tapi biarlah saya melangkah dari bawah. Ini peluang untuk saya menimba pengalaman dan Insya Allah kalau ada rezeki boleh bermain dalam Liga Jepun,” kata Wan Zack Haikal yang pernah dipinjamkan ke kelab Slovakia, Zlate Moravce tahun lalu.

 Sementara itu, seorang lagi penyerang Harimau Muda, Rozaimi Abdul Rahman juga mengesahkan bakal menjalani ujian selama seminggu bersama kelab Liga Perdana Thailand, BEC Tero Sasana. Nama anak kelahiran Bongawan, Sabah itu tiba-tiba meniti di bibir peminat bola sepak tempatan apabila berjaya meledak 10 gol pada kelayakan Piala AFC Bawah 22 tahun di Yangon, Myanmar baru-baru ini. Begitu pun, ujian itu hanya akan dilakukan selepas membantu Selangor dalam saingan Piala Malaysia 2012 setelah dia disahkan akan dipinjamkan kepada skuad Gergasi Merah itu kelmarin.

“Jika berjaya dipilih, saya akan menyarung jersi Tero Sasana tetapi pada masa sekarang terlalu awal untuk saya memperkatakan mengenai perkara itu,” katan Rozaimi di Kuantan semalam.

Dalam pada itu, Rozaimi menafikan spekulasi yang mengatakan dia sudah ‘lupa daratan’ sebaik menyertai Gergasi Merah secara pinjaman.

“Saya sayangkan Sabah, namun peluang menimba ilmu bersama Selangor tidak harus saya lepaskan. Lagipun saya masih muda, jadi jika saya gagal menyertai Tero Sasana saya akan kembali semula bersama Sabah, bukannya Selangor,” kata Rozaimi lagi.

Pekembangan ini jelas membuktikan kualiti dan mutu permainan bola sepak Malaysia mulai mencuri tumpuan dunia. Kehadiran beberapa kelab gergasi Liga Perdana Inggeris seperti Arsenal, Manchester City dan Queens Park Rangers mampu menjadi pemangkin untuk meningkatkan lagi mutu bola sepak tempatan. Semoga impian untuk melihat anak tempatan beraksi dalam dalam pusingan akhir Piala Dunia bakal menjadi realiti suatu hari nanti.

Incoming search terms:

  • pemain malaysia di luar negara
  • nazmi faiz mansor
  • pemain bola sepak malaysia bermain di luar negara
  • pemain bola sepak malaysia di luar negara
  • rozaimi abdul rahman kelab luar
  • nazmi ke kelab jepun
  • pemain malaysia diintai kelab luar
This entry was posted in Berita. Bookmark the permalink.

Leave a Reply