[OLIMPIK] IMPIAN EMAS OLIMPIK PERTAMA MALAYSIA TERJEJAS

Hasrat Malaysia untuk menamatkan penantian emas pertama di Sukan Olimpik London 2012 sedikit terjejas ekoran dua sandaran utama negara, jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan jagoan lumba basikal negara, Azizulhasni Awang dihimpit kecederaan tatkala tirai Sukan Olimpik London 2012 akan dibuka secara rasminya Jumaat ini. Namun kecederaan kedua-dua sandaran emas negara tidak begitu serius dan bersedia untuk turun beraksi dalam acara kegemaran masing-masing.

Jurulatih perseorangan badminton negara, Tey Seu Bock mengakui kecederaan buku lali kanan yang dialami oleh Datuk Lee Chong Wei ketika beraksi dalam kempen Piala Thomas 2012 di Wuhan, China pada Mei lalu masih belum pulih sepenuhnya. Pilihan utama acara badminton di Sukan Olimpik London 2012 itu masih mengalami sakit-sakit dibahagian buku lali kanannya namun keadaan itu masih terkawal.

“Bukan masa untuk fikir mengenai kecederaan lagi,” tegas jurulatih perseorangan badminton negara, Tey Seu Bock.

“Jika saya katakan kecederaan Chong Wei sudah seratus peratus pulih, itu bohong. Dia masih ada berasa sakit-sakit lagi tetapi itu tidak membimbangkan dan masih dalam keadaan terkawal.”

“Yang penting, ia tidak mengganggu tumpuan Chong Wei bagi melakukan persiapan untuk Sukan Olimpik kali ini. Dia tidak boleh terlalu memikirkan sangat mengenai kecederaan yang dialaminya itu.”

“Tidak kira apa jua situasi sekalipun, dia perlu menghadapinya dengan sikap positif. Sukan Olimpik kali ini penting buat dirinya dan dia perlu kekal fokus dalam usaha meraih pingat emas,” kata Seu Bock ketika dihubungi Kosmo! di United Kingdom kelmarin.

Ia merupakan kali kedua Chong Wei mengalami kecederaan tahun ini selepas dia mengalami kecederaan di bahagian bahu kanannya ketika menentang seteru utamanya, Lin Dan dari China pada aksi final Seluruh England 2012, Mac lalu.

Sue Bock memberitahu bahawa Chong Wei sentiasa kekal positif  dan tidak menunjukan tanda-tanda tertekan sepanjang menjalani latihan di University of Bath (United Kingdom).

“Namun, mungkin situasinya akan menjadi berbeza apabila dia tiba di venue pertandingan. Kita kena ingat, Sukan Olimpik adalah sesuatu yang berbeza berbanding mana-mana kejohanan lain.

“Sudah pasti tekanannya juga berbeza. Jadi, dia perlu terus kekal fokus agar tidak terlalu dibayangi dengan tekanan yang mungkin dirasainya nanti pada Sukan Olimpik kali ini.”

Chong Wei yang juga pemain No. 2 dunia itu diletakkan sebagai sandaran utama kontinjen Malaysia bagi memburu pingat emas pertama di London. Perseorangan utama negara itu diundi bertemu dengan Ville Lang dari Finland pada aksi pembukaan acara badminton Sukan Olimpik London 2012.

Sementara itu, kem lumba basikal negara turut cemas seketika apabila sandaran utama emas negara acara lumba basikal, Azizulhasni Awang yang mengalami kemalangan ketika menyertai acara pecut dalam satu kejohanan pemanas badan sebelum Sukan Olimpik London 2012 di Cologne, Jerman dua hari lalu.

Insiden malang tersebut menyebabkan lebih kurang 60 serpihan trek tertusuk di seluruh bahagian kiri tubuh pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu. Kejadian yang berlaku ke atas Azizulhasni seolah-olah mengulangi insiden hitam yang dialaminya apabila serpihan trek sepanjang 20 sentimeter tertusuk di betis kaki kirinya ketika beraksi pada Siri Piala Dunia Klasik di Manchester, Februari tahun lalu.

Bagaimanapun Azizulhasni menjelaskan, peminat sukan tanah air tidak perlu bimbang dengan insiden terbaharu yang menimpanya biarpun mengalami kecederaan di bahagian tangan, paha dan bahu kanan.

“Terima kasih atas ucapan daripada anda semua. Kebimbangan saya sekarang bukanlah kecederaan yang dialami ini tetapi Olimpik,” kata Azizulhasni Awang menerusi laman Twitternya.

Kenyataan terbaharu Azizulhasni itu pastinya melegakan kebimbangan jutaan peminat sukan tanah air yang kini berharap dia mampu menjelmakan kilauan emas pada temasya Olimpik 2012.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad meminta peminat Azizulhasni tidak risau dengan apa yang berlaku ke atas pelumba yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocketrocketman’ itu.

Menurut Naim, beliau sudah berjumpa dan melihat kecederaan yang dialami Azizulhasni sebaik saja tiba di Perkampungan Sukan Olimpik 2012 di London kelmarin.

“Hanya kecederaan ringan dan keadaan itu sering dialami (Azizulhasni). Jadi tiada yang perlu dibimbangkan,” jelas Naim yang turut memberitahu skuad berbasikal negara diberi rehat sehari semalam.

Naim menambah, Azizulhasni akan kembali menjalani latihan seperti biasa mulai hari ini bersama rakan-rakan sepasukannya, Josiah Ng dan Fatehah Mustapa di Velopark London iaitu venue rasmi untuk acara trek Olimpik London.

“Mereka semua cukup bersemangat sebaik saja menjejakkan kaki di London, malah (tiga pelumba lebuh raya) Adiq Husainie Othman, Amir Mustafa Rusli dan Zamri Salleh sudah pun meninjau laluan bagi acara lebuh raya yang akan membuka tirai Sabtu ini,” jelasnya.

Rujukan : www.kosmo.com.my

Incoming search terms:

  • pemain basikal malaysia
This entry was posted in Badminton, Lumba Basikal, Sukan Antarabangsa. Bookmark the permalink.

Leave a Reply