[BULETIN] LAURENT KOSCIELNY TERUS KOMITED BERSAMA ARSENAL

Arsenal mengumumkan bahawa pertahanan tengah, Laurent Koscielny telah bersetuju menandatangani kontrak jangka masa panjang bersama Arsenal. Pemain berusia 26 tahun itu berjaya menampilkan aksi yang cemerlang dan merupakan pemain Arsenal yang mempunyai prestasi yang konsisten sejak menyertai Arsenal dari kelab Ligue 1, Lorient pada musim panas 2010. Laurent Koscielny berjaya menjadi pemain pertama Arsenal yang melakukan 85 penampilan dalam tempoh 2 tahun.

Pertahanan antarabangsa Perancis itu sememangnya memiliki kualiti seorang pertahanan yang baik dan telah menyumbang 6 gol sehingga kini. Jaringan yang paling diingati pastinya ketika Arsenal menewaskan West Bromwich Albion pada perlawanan terakhir musim lalu sekaligus memastikan Arsenal mendapat slot automatik ke saingan Liga Juara-Juara Eropah 2012/13.

Kualiti dan prestasi yang konsisten menyaksikan Koscielny dipanggil menyertai skuad kebangsaan Perancis sejak tahun lalu. Sehingga kini, Koscielny telah mendapat 4 caps antarabangsa termasuk beraksi selama 90 minit ketika ‘Les Bleus’ tewas 0-2 kepada Sepanyol pada saingan suku akhir EURO 2012 hujung bulan lalu.

Pengurus Arsenal, Arsène Wenger turut memuji Koscielny dengan berkata : “Laurent (Koscielny) cemerlang bersama kami sepanjang 2 musim ini. Kini dia cukup berbeza dan berada di kelas yang tinggi dalam Liga Perdana Inggeris berbanding ketika dia beraksi dalam saingan Ligue 2 sebelum tahun 2009. Peningkatan yang dipamerkan oleh Koscielny cukup baik  dan dia merupakan tonggak utama kami. Saya sangat mengalu-lau komitmen dia untuk terus mencurah keringat bersama Arsenal.”

Laurent Koscielny turut gembira dengan persetujuan mengenai kontraknya bersama Arsenal dan dia mengakui melalui musim-musim yang hebat dan mengujakan bersama ‘The Gunners’.

Sementara itu, rakan seposisi Koscielny di Arsenal, Thomas Vermaelen turut gembira apabila Koscielny akan terus kekal di Emirates sehingga musim panas 2017.

“Saya mendapat berita bahawa Laurent (Koscielny) telah menyambung kontraknya dan saya sangat gembira,” kata Vermaelen semasa sidang media di Beijing dua hari lalu.

“Sejak pertama kali beraksi bersama Arsenal, dia telah menunjukan kualiti seorang pemain yang hebat dan prestasi meningkat dengan baik sekali. Saya rasa dia telah memberikan yang terbaik untuk kelab ini dan saya berharap agar dia terus kekal di Emirates.”

“Semestinya dia tidak berada di sini kerana masih belum cergas sepenuhnya. Tetapi dia merupakan pemain yang hebat dan saya gembira dengan perkhabaran ini,” kata Vermaelen yang dilantik selaku kapten Arsenal dalm siri perlawanan jelajah pra-musim Asian Tour 2012.

Sumber : www.arsenal.com

This entry was posted in Buletin. Bookmark the permalink.

Leave a Reply