[BERITA] SKUAD HARIMAU MALAYA AKAN KE AUSTRIA OGOS INI – K. RAJAGOPAL

Jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal mengesahkan bahawa skuad Harimau Malaya akan menjalani latihan di Vienna, Austria dari 4-16 Ogos ini sebagai persiapan untuk mempertahankan Piala AFF Suzuki, November ini. Skuad 28 orang pemain itu bakal mengadakan tiga perlawanan persahabatan dengan kelab profesional di Austria sepanjang tempoh tersebut.

“Menerusi tiga perlawanan itu, saya harap dapat membuat penilaian mengenai kesebelasan utama untuk Piala AFF Suzuki nanti,” katanya kepada pemberita selepas sidang media perlawanan persahabatan dengan Arsenal FC minggu lepas.

K. Rajagobal turut berharap empat pemain utama skuad Harimau Malaya iaitu Mohd Safee Sali, Ahmad Shakir Mohd Ali, Yong Kuong Yong serta penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat yang kini berdepan dengan masalah kecederaan mampu pulih sebelum bermulanya saingan Piala AFF nanti.

“Kalau boleh, saya mahu menyenaraikan pemain terbaik negara untuk Piala AFF namun kita harus realistik bahawa mereka mungkin akan tercedera sekiranya saya menggunakan khidmat mereka secara berterusan,” katanya.

Skuad Harimau Malaya berdepan laluan getir pada Piala AFF Suzuki kali ini apabila diundi bersama naib juara edisi 2010, Indonesia dan juara tiga kali Singapura dalam Kumpulan B. Turut akan disenaraikan dalam kumpulan berkenaan ialah naib juara pusingan kelayakan yang akan diketahui pada 13 Oktober depan.

Pusingan kelayakan kejohanan itu akan berlangsung dari 5 hingga 13 Oktober di Myanmar dengan format kalah mati melibatkan pasukan Brunei, Kemboja, Laos, Timor Leste dan tuan rumah.

Perlawanan Kumpulan A yang melibatkan Thailand, Vietnam, Filipina dan pemenang pusingan kelayakan akan berlangsung di Stadium Rajamangala di Bangkok manakala saingan dalam Kumpulan B akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, dari 24 November hingga 22 Disember.

Harimau Malaya akan membuka kempen dengan menentang Singapura pada 25 November diikuti naib juara pusingan kelayakan pada 27 November sebelum menutup aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 November.

Sumber : www.sinarharian.com.my

Incoming search terms:

  • harimau malaya
  • pemain harimau malaya
  • harimau malaya aff suzuki 2012
This entry was posted in Berita. Bookmark the permalink.

Leave a Reply