[PRA-MUSIM] SKUAD MUDA ARSENAL JULANG TROFI PIALA MEMORIAL MARKUS LIEBHERR 2012

Arsenal memulakan langkah jelajah pra-musim tahun ini dengan bergaya apabila menjulang Piala Memorial Markus Liebherr 2012 mengenepikan saingan dua penjuru dari tuan rumah, Southampton dan juara Divisyen 1 Belgium, RSC Anderlect di Stadium St. Mary semalam meskipun sekadar membariskan pemain-pemain muda. Kejohanan jemputan 3 kelab ini bagi memperingati bekas pemilik Southampton, Markus Liebherr yang meninggal dunia pada 10 Ogos 2010.

Skuad bimbingan Arsene Wenger memulakan kempen dengan menewaskan RSC Anderlecht 1-0 hasil jaringan Henri Lansbury namun tewas dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dengan format 45 minit setiap perlawanan. Perlawanan antara Southampton dengan Anderlecht memihak kepada juara Belgium dengan keputusan 1-0. Setiap pasukan yang menang memperoleh tiga mata, dua mata untuk pasukan yang menang dalam penentuan sepakan penalti sementara satu mata diperolehi bagi pasukan yang tewas dalam penentuan sepakan penalti.

Sebelum perlawanan bermula, obor sukan Olimpik turut dibawa masuk ke dalam stadium oleh pelari-pelari mengelilingi Stadium St. Mary sebagai sebahagian daripada jelajah dan kempen sempena Sukan Olimpik London 2012 yang akan bermula secara rasmi pada 27 Julai ini.

Barisan pemain-pemain muda Arsenal seperti Henri Lansbury (21), Damien Martinez (20), Kyle Bartley (21), Craig Eastmond (22), Thomas Eisfeld (19), Sanchez Watt (21), Martin Angha (18), Nico Yennaris (19), Ignasi Miguel (20), Kristoffer Olsson (17), dan lain-lain berjaya menampilkan aksi yang mantap meskipun berhadapan dengan pemain-pemain berpengalaman.

ARSENAL vs RSC ANDERLECHT

Damien Martinez

Carl Jenkinson – Daniel Boateng – Ignasi Miguel – Kieran Gibbs (C)

Nico Yennaris – Henri Lansbury – Thomas Eisfeld – Craig Eastmond

Sanchez Watt – Mauroane Chamakh

Simpanan : Vito Mannone, Andre Santos, Martin Angha, Johan Djourou, Sead Hajrovic, Kristoffer Olsson

Arsene Wenger membariskan Kieran Gibbs, Carl Jenkinson dan Mauroane Chamakh untuk bergandingan bersama pemain-pemain muda Arsenal jelas mampu menyaingi juara Divisyen 1 Belgium itu. Pemain muda Jerman, Thomas Eisfeld diberi tugas untuk mengemudi jentera tengah Arsenal manakala Kieran Gibbs dikalungkan lilitan kapten.

Anderlecht berjaya membolosi gawang Arsenal menerusi Tom De Sutter pada minit ke-5 namun dibatalkan kerana offside. De Sutter sekali lagi nyaris merobek benteng Arsenal pada minit ke-14 selepas menerima umpanan dari penjuru kanan tetapi tandukannya sedikit tersasar.

Arsenal mengandakan usaha untuk mengimbangi rentak permainan nyaris memperolehi gol pendahuluan apabila hantaran cantik Ignasi Miguel kepada Mauroane Chamakh namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Anderlecht, Silvio Proto. Ignasi Miguel pula terus cemerlang menghalang Reynaldo yang cuba untuk menembusi benteng Arsenal pada minit ke-30.

Henri Lansbury yang cemerlang sepanjang tempoh pinjaman musim lalu apabila membantu West Ham dinaikkan ke Liga Perdana Inggeris musim ini. Pemain tengah England itu berjaya meloloskan diri untuk melepaskan satu rembatan kencang menewaskan penjaga gol Anderlecht pada minit ke-34 selepas menerima hantaran lintang cantik daripada Carl Jenkinson. Kedudukan ini kekal hingga ke wisel penamat membolehkan Arsenal meraih 3 mata mutlak.

ARSENAL VS SOUTHAMPTON

Vito Mannone

Jernade Meade – Kyle Bartley – Johan Djourou (C) – Andre Santos

Kyle Ebecilio – Francis Coquelin – Craig Eastmod

Henri Lansbury – Chuks Aneke – Gervinho

Pertukaran : Henri Lansbury–Kristoffer Olsson (16), Martin Angha–Chuks Aneke (29)

Simpanan : Damien Martinez, Martin Angha, Thomas Eisfeld, Sead Hajrovic, Kristoffer Olsson

Pengurus Arsenal menurunkan empat pemain utama iaitu Andre Santos, Johan Djourou, Francis Coquelin dan Gervinho berhadapan dengan tuan rumah, Southampton. Henri Lansbury dan Craig Eastmond sekali lagi diturunkan dalam kesebelasan utama sementara Johan Djourou diberi tugas menjadi kapten.

Southampton terlebih dahulu menguji gawang Arsenal menerusi tandukan padu James Ward-Prowse pada minit ke-4 tetapi sedikit tersasar manakala rembatan Jason Puncheon dari luar kotak penalti tidak menepati sasaran. Pemain tengah Arsenal, Henri Lansbury nyaris merobek kubu ‘The Saint’ namun berjaya dinafikan penjaga gol, Tommy Forecast.

Tempo permainan yang tinggi dipamerkan oleh kedua-dua pasukan menghiburkan ribuan penonton yang hadir. Arsenal nyaris memperolehi gol pertama pada minit ke-20 namun rembatan Gervinho sedikit tersasar. Pemain pertahanan muda Arsenal yang baru diserapkan ke dalam skuad utama, Kyle Bartley pula berjaya mengawal benteng pertahanan Arsenal dengan baik sekali sementara Vito Mannone turut cemerlang menafikan percubaan pihak lawan.

Southampton berjaya juga membolosi gawang Arsenal pada minit ke-31 menerusi tandukan cantik Rodriguez yang menerima hantaran cantik dari sebelah kiri. Kedudukan ini tidak kekal lama apabila Gervinho yang berjaya melakukan gerakan solo dari sebelah kiri sebelum merembat kencang dari dalam kotak penalti menewaskan Tommy Forecast pada minit ke-35.

Kedua-dua pasukan gagal menambah gol sehingga wisel penamat dibunyikan dan perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti. Southampton berjaya memenangi sepakan penalti 5-4 selepas sepakan Kyle Ebelicio tersasar.

This entry was posted in Ulasan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply