[PERSPEKTIF] MENGAPA AARON RAMSEY MENJADI PILIHAN WENGER?

Aaron Ramsey dikritik hebat kebelakangan ini lantaran prestasinya yang hambar dan gagal untuk menyaingi ketangkasan pemain lawan. Namun, Arsene Wenger terus memberi kepercayaan dan keyakinan buat pemain berusia 21 tahun ini meskipun tidak dipersetujui oleh sebahagian besar penyokong-penyokong Arsenal di seluruh dunia. Persoalannya, mengapakan Ramsey terus diberi tempat dalam skuad utama Arsenal meskipun gagal menampilkan aksi yang membanggakan?

Pemain kelahiran Wales ini dibawa masuk dari Cardiff City ke Emirates pada 10 Jun 2008 dengan bayaran bernilai £5 juta ketika berusia 18 tahun sekaligus memadam hasrat Man United dan Everton yang turut menyimpan hasrat untuk mendapat pemain muda ini.

Aaron Ramsey terus membina kerjaya bola sepak lantaran sering diserapkan ke dalam skuad utama Arsenal dan berjaya menjadi kapten skuad kebangsaan Wales ketika berusia 21 tahun.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger seringkali mempertaruhkan Ramsey selaku nadi di bahagian tengah meskipun kehadiranya gagal memberi impak yang besar di samping prestasi yang tidak konsisten. Arsenal berjaya mencipta kejayaan cemerlang hujung bulan lalu ketika menewaskan Tottenham, AC Milan dan Liverpool tatkala Ramsey diketepikan ekoran kecederaan. Wenger telah menggunakan pemain seperti Rosicky, Benayoun, Chamberlain, dan Gervinho bagi mengantikan Ramsey berjaya membentuk gandingan seimbang di bahagian pertahanan di samping corak serangan yang dinamik.

Oxlade-Chamberlain paling mencuri tumpuan ketika Arsenal membenam cabaran AC Milan dengan hantaran-hantaran tepat dan kelincahan memecah kekebalan pertahanan The Rossoneri serta berjaya menghadiahkan satu sepakan penalti yang disudahkan oleh Robin van Persie. Benayoun juga turut cemerlang ketika aksi menentang Tottenham dengan menampilkan aksi hebat sepanjang perlawanan. Rosicky kembali ke prestasi sebenarnya beberapa perlawanan kebelakangan ini dengan berjaya mencipta gerakan kreatif di samping hantaran-hantaran cantik kepada jentera serangan Arsenal.

Ramsey kembali ke dalam skuad utama ketika Arsenal menewaskan Everton 1-0 dua minggu lalu namun masih gagal memberi impak kepada perlawanan dan mencipta gerakan-gerakan kreatif di bahagian tengah. Wenger cuba mencipta kelainan dengan meletakkan pemain tengah Wales itu di bahagian sayap kiri bergandingan bersama Robin van Persie dan Walcott ketika menentang QPR dengan merehatkan Gervinho, Chamberlain, dan Benayoun dibangku simpanan. Taktikal jelas mengecewakan dengan Ramsey gagal memainkan peranan penuh selaku pemain sayap kiri menyaksikan Arsenal tewas 1-2 di tangan QPR.

Sememangnya tidak dinafikan yang Ramsey memiliki bakat yang hebat meskipun gagal menampilkan aksi yang konsisten dengan sering melakukan kesilapan-kesilapan mudah namun Wenger terus meletakkan Ramsey dalam senarai pemain utamanya sejak permulaan musim ini. Di sebalik pelbagai kritikan yang dilontarkan kepada Ramsey musim ini, namun dia berjaya menjaringkan 3 gol dan 6 assist dalam 37 penampilan bersama Arsenal musim ini.

This entry was posted in Perspektif and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply