[EPL-32] FLY EMIRATES TERBANG TINGGI DI LONDON

Arsenal mempamerkan kualiti sebenar apabila menewaskan Manchester City 1-0 di Stadium Emirates hasil jaringan Mikel Arteta tiga minit sebelum perlawanan tamat. Kemenangan ini membolehkan Arsenal kembali merampas kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris dua mata mengatasi musuh setempat, Tottenham Hospurs. Perlawanan semalam menyaksikan kepulangan pertama dua bekas bintang Arsenal yang menyertai City pada musim panas lalu, Samir Nasri dan Gael Clichy.

Arsene Wenger menurunkan skuad utama Arsenal dan melakukan sedikit perubahan dengan memasukan pemain berpengalaman, Yossi Benayoun mengantikan Aaron Ramsey dibahagian sayap kiri bagi bergandingan bersama Robin van Persie dan Theo Walcott untuk merobek benteng City sementara Rosicky memainkan peranan mengemudi jentera tengah bersama Arteta dan Alex Song. Gandingan Koscielny-Vermaelen terus diberi kepercayaan mengemudi pertahanan tengah Arsenal dengan dibantu oleh Sagna diposisi bek kanan manakala Gibbs beraksi diposisi bek kiri.

Sementara ini, pengendali Man City, Roberto Mancini menaruh kepercayaan kepada Sergio Aguero dibantu oleh Mario Balotelli dan Samir Nasri mengempur gawang Arsenal. Yaya Toure, James Milner dan Gareth Barry pula memainkan peranan mengerakkan jentera tengah ‘The Citizen’ manakala Vincent Kompany dan Joleon Lescott mengetuai  benteng tengah City bersama Pablo Zabaleta diposisi bek kanan dan Gael Clichy diposisi bek kiri.

Arsenal mendominasi perlawanan sebaik dimulakan oleh Martin Atkinson dengan melancarkan serangan ke kubu Man City. Skuad bimbingan Arsene Wenger dinafikan sepakan penalti pada minit ke-14 apabila Robin van Persie dijatuhkan oleh Kompany dalam kotak penalti. Kapten Arsenal terus kecewa apabila tandukannya pada minit ke-16 tertampan keluar oleh Vermaelen ketika situasi kelam-kabut di depan gawang City tatkala Joe hart sudah tertewas. Pemain tengah Man City, Yaya Toure terpaksa dikeluarkan kerana mengalami kecederaan selepas berlanggar dengan Alex Song dan digantikan oleh David Pizzaro pada minit ke-17.

Penyerang ‘The Citizen’, Mario Balotelli bernasib baik apabila tidak dilayangkan kad merah pada minit ke-20 selepas terjahan keras singgah di kaki Alex Song. Man City nyaris memperoleh gol pembukaan namun percubaan Balotelli yang menerima sepakan sudut Gareth Barry berjaya dikeluarkan oleh van Persie pada minit ke-26. Mario Balotelli sekali mengancam gawang Arsenal namun tindakan pantas Szczesny yang meluru keluar untuk mengeluarkan bola dari kawasan Arsenal. Balotelli terus menjadi tumpuan apabila dilayangkan kad kuning kerana mengasari Sagna pada minit 38.

Perlawanan terus rancak dengan aksi berbalas serangan oleh kedua-dua pasukan dan Santos masuk mengantikan Gibbs yang mengalami kecederaan pada minit ke-56. Tandukan Aguero pada minit ke-58 berjaya dikuis keluar oleh penjaga gol Arsenal, Szczesny. Robin van Persie terus kecewa apabila tandukan cantiknya sekadar menggegar tiang tatkala Joe Hart sudahpun tertewas apabila menerima hantaran lambung cantik dari Alex Song pada minit ke-63. Koscielny pula dilayangkan kad kuning pada minit ke-68 dan bakal terlepas dua perlawanan mendatang.

Robin van Persie berjaya menjaringkan gol pada minit ke-71 namun dibatalkan kerana offside. Arsenal terus hampa apabila percubaan Walcott terkena tiang pada minit ke-76 manakala percubaan susulan oleh Vermaelen dan Benayoun gagal menemui sasaran. Wenger memasukan Ramsey mengantikan Benayoun dan Oxlade-Chamberlain pula mengantikan Walcott. Mancini turut memasukkan Kolarov mengantikan Nasri dan Tevez mengantikan Aguero bagi menambah sengat dibarisan serangan.

Mikel Arteta akhirnya berjaya menceriakan penyokong-penyokong Arsenal apabila bijak merampas bola dari kawalan Pizzaro di tengah padang dan melakukan gerakan solo sebelum meledak satu rembatan kencang dari jarak 30m menewaskan Joe Hart pada minit ke-87. Szczesny pula terus menampilkan aksi cemerlang apabila menepis keluar hantaran lintang Zabaleta pada minit ke-90. City terus derita apabila Balotelli dibuang padang apabila mnerima kad kuning kedua kerana mengasari Sagna.

Arsenal cemas seketika apabila Man City dihadiahkan sepakan percuma di hadapan kotak penalti namun rembatan Kolarov terkena benteng. Rosicky yang menyambar bola tersebut terus melakukan serangan balas pantas sebelum melorongkan buat Ramsey namun percubaannya tersasar meskipun pintu gol terbuka luas beberapa saat sebelum perlawanan ditamatkan. Akhirnya Arsenal bersorak gembira apabila Martin Atkinson meniupkan wisel penamat.

The Gunners kembali mempamerkan prestasi sebenar dengan menguasai kawalan bola dengan hantaran pendek dan pantas yang gagal dibaca oleh pemain-pemain Man City. Pemain-pemain tengah Arsenal berjaya mencipta gerakan kreatif sekaligus menghidupkan bahagian serangan Arsenal. Ramsey pula terus hambar dan gagal mempamerkan potensi sebenar tatkala masuk sebagai pemain gantian.

Man City pula tempang tanpa kelibat David Silva dan Yaya Toure yang menghidupkan bahagian tengah City. Budak nakal City, Balotelli menjadi tumpuan ekoran beberapa insiden sepanjang perlawanan. Sementara itu, Roberto Mancini berhadapan saat getir berkemungkinan bakal dipecat jika gagal menjulang kejuaraan musim ini. ‘The Citizens’ kini ketinggalan 8 mata dibelakang jiran setempan, Man United.

MAN OF THE MATCH : MIKEL ARTETA

This entry was posted in Ulasan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply