[EPL-31] MALAYSIA AIRLINE TERBANG TINGGI DI LOFTUS ROAD

Queens Park Rangers berjaya menamatkan rekod kemenangan ketujuh berturut-turut Arsenal dengan kemenangan 2-1 di Loftus Road. Skuad bimbingan Mark Hughes berjaya mendahului pada minit ke-22 hasil gerakan lincah perancang tengah dari Maghribi, Adel Taarabt sebelum Theo Walcott berjaya menyamakan kedudukan 15 minit kemudiannya. Samba Diakite akhirnya cemerlang merembat masuk gol kemenangan QPR pada minit ke-66 dan kekal hingga ke wisel penamat.

Arsene Wenger menurunkan skuad yang sama ketika membenam Aston Villa 3-0 minggu lalu kecuali Gervinho yang direhatkan dan digantikan dengan Ramsey. Sementara itu, Koscielny yang terlepas perlawanan hujung minggu lalu berjaya melepasi ujian kecergasan untuk diturunkan pada aksi di Loftus Road.

QPR menampilkan persembahan bertenaga apabila menguasai perlawanan sebaik wisel dibunyikan oleh Mike Dean dan hampir membolosi gawang Arsenal pada mini ke-7 namun Bobby Zamora terperangkap offside. Robin van Persie nyaris menjaringkan gol pembukaan Arsenal tetapi sepakan percuma yang diambil dari jarak 25 ela berjaya ditampan oleh penjaga gol QPR, Patrick Kenny setelah Walcott dijatuhkan oleh Clint Hill. Zamora sekali cuba mengegar gawang Arsenal namun tandukan sedkit melewati palang pada minit ke-14.

Perancang tengah QPR, Adel Taarabt yang kerap kali mengucar-kacirkan pertahanan Arsenal dengan gerakan lincahnya berjaya melepasi kawalan Vermalen yang tersilap langkah apabila menerima hantaran panjang dari Clint Hill sebelum merembat kencang menewaskan Szczesny pada minit ke-22 sekaligus memberi keceriaan buat kem QPR dan penonton di Loftus Road. QPR terus mendominasi perlawanan dengan menguasai bola dan melancarkan serangan ke kubu Arsenal.

Namun, Arsenal berjaya mengimbangi kedudukan selepas 30 minit perlawanan berlangsung dengan kembali mengatur gerak-gerak berbahaya ke gawang QPR. Bermula dari gerakan Rosicky yang bijak melorongkan bola kepada Robin van Persie yang kemudian membuka ruang untuk Walcott merembat kencang. Sepakan pertama Walcott sekadar menggegar tiang namun bola yang membias tepat singgah dikaki Walcott yang merembat untuk kali kedua terus menerjah gawang QPR. Arsenal terus mengasak menerusi Ramsey namun sepakan berjaya ditepis keluar oleh Kenny pada minit ke-40 manakala percubaan Rosicky pada minit ke-43  sedikit tersasar.

Separuh masa kedua pemainan kekal seimbang dengan Arsenal nyaris menambah gol kedua namun tandukan Gibbs sedikit terkeluar di penjuru kiri gawang QPR pada minit ke-47. Robin van Persie turut terlepas peluang apabila rembatannya berjaya ditepis keluar ketika berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol QPR. Jamie Mackie berjaya melepasi kawalan Vermaelen yang terjatuh sebelum melakukan hantaran yang disudahkan oleh Diakite dengan satu rembatan kencang kaki kanan pada minit ke-62.

QPR kemudiannya memperlahan rentak perlawanan dengan mempamerkan corak permainan negatif dan Arsenal terus mengasak kubu QPR untuk memperolehi gol penyamaan dengan memasukkan Gervinho mengantikan Ramsey pada minit ke-68. Wenger turut memasukkan Chamakh dan Oxlade-Chamberlain ketika perlawanan berbaki 10 minit. Namun segala-galanya sudah terlambat untuk Arsenal menghalang kemenangan 2-1 anak buah Mark Hughes.

Secara keseluruhannya, hampir kesemua pemain Arsenal gagal menampilkan aksi sebenar dengan kawalan bola yang lemah serta gagal untuk mengekang asakan pemain QPR. Persembahan Arsenal jelas berbeza dengan lapan perlawanan sebelum ini, sesuatu yang perlu diambil tindakan segera oleh Arsene Wenger. Corak taktikal Wenger dilihat kurang efektif dalam mendominasi jentera tengah Arsenal terutama apabila meletakkan Ramsey selaku pemain sayap kiri di samping mudah tertekan apabila diasak oleh pemain lawan.

Robin van Persie pula terus mengharungi kemarau gol dalam 3 perlawanan berturut-turut meskipun cemerlang mencetak 26 gol sebelum ini. Walcott pula dilihat kurang efektif dan gerakan berjaya dibaca oleh pertahanan QPR sementara Ramsey terus gagal menampilkan kualiti sebenarnya. Gandingan tengah Rosicky-Arteta-Song juga kurang mencipta hantaran-hantaran menarik dan gerakan mereka dibahagian tengah mudah sering kali berjaya dipatahkan oleh pihak lawan.

Namun, tumpuan pastinya terarah kepada pertahanan Arsenal, Vermalen yang melakukan dua kesilapan sekaligus membuka ruang untuk QPR menjaringkan gol. Gibbs pula seringkali meninggalkan posisinya di bahagian bek kiri. Namun, keputusan sudah dinoktahkan dan Arsenal perlu fokus untuk kembali mengekalkan konsistensi permainan untuk baki tujuh perlawanan mendatang terutama aksi pada minggu hadapan menentang Manchester City di Emirates pada 8 April nanti.

This entry was posted in Ulasan and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply