[BULETIN] ROBIN VAN PERSIE PENDORONG ARSENAL KE MALAYSIA LAGI

Hajat besar penyerang sensasi Arsenal, Robin van Persie untuk kembali ke Malaysia menjadi antara faktor kelab Liga Perdana Inggeris itu memilih Harimau Malaya sebagai pasukan untuk mereka memanaskan badan dalam persiapan pra-musim Julai ini. Pengarah Pemasaran Arsenal, Angus Kinner berkata, kedatangan kelab London itu kali ini didorong dengan sambutan luar biasa yang diterima peminat Gunners di Kuala Lumpur tahun lalu.

Skuad Gunners kendalian Arsene Wenger itu akan singgah di Kuala Lumpur untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan pada 24 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil sekaligus penampilan kali kelima selepas kali terakhir bertemu tahun lalu dengan menyaksikan mereka menang 4-0.

“Robin van Persie dan semua pemain mahu datang semula ke Kuala Lumpur. Mereka tertarik dengan sambutan hebat peminat sebelum ini yang bagi mereka sesuatu yang mengejutkan.

“Kami tidak mahu melakukan kesilapan seperti sebelum ini apabila kami menunggu sehingga 12 tahun untuk datang semula ke Malaysia,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman Jelajah Asia 2012 Arsenal semalam.

Turut hadir, Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Ketua Eksekutif Arsenal, Ivan Gazidis dan Ketua Pegawai Eksekutif ProEvents Group, Julian Kam yang bertindak sebagai promoter jelajah Arsenal kali ini.

Kinner turut memberi jaminan, Wenger akan membawa barisan terkuatnya memandangkan Jelajah Asia 2012 itu turut membabitkan persinggahan di Beijing, China dan Hong Kong yang disifatkan amat penting bagi latihan pra-musim.

“Kami akan membawa skuad terbaik Arsenal termasuk mereka yang beraksi di Euro  2012 pada Jun nanti. Kami akan mengadakan perlawanan di Kuala Lumpur dulu sebelum meneruskan program kami ke destinasi seterusnya (China dan Hong Kong),” katanya.

Arsenal kini menduduki tangga ketiga Liga Perdana dan kali terakhir pernah merangkul juara Inggeris pada musim 2003/04. Perlawanan Arsenal dengan Malaysia akan berlangsung jam 9.45 malam bagi menghormati bulan Ramadan. -Harian Metro

This entry was posted in Buletin. Bookmark the permalink.

Leave a Reply