[PERPINDAHAN] LUKAS PODOLSKI BERMINAT SERTAI ARSENAL – MERTESACKER

Pemain pertahanan Arsenal, Per Mertesacker mengakui bahawa penyerang Cologne, Lukas Podolski menghubunginya untuk mendapat penjelasan mengenai potensi perpindahan ke Emirates. Penyerang berusia 26 tahun itu hangat dikaitkan dengan perpindahan ke Arsenal ekoran prestasi mengecewakan kelabnya, Cologne yang kini menghuni kedudukan ke-14 dalam Bundesliga.

Mertesacker yang menyertai Arsenal pada musim panas lalu memaklumkan kepada rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Jerman itu bahawa kehidupan sebagai sebahagian daripad skuad ‘The Gunners’ sangat hebat dan mencabar. Lukas Podolski berada di kedudukan ketiga senarai penjaring gol terbanyak dalam Bundesliga ketinggalan 2 gol dibelakang Mario Gotze dan Klaas Jan-Huntelaar yang mencatatkan 18 gol setakat ini.

“Dia (Podolski) menunjukkan minat minggu lalu dan menghantar beberapa mesej kepada saya bertanya mengenai kehidupan di Emirates. Seperti yang anda bayangkan, saya memberitahu segalanya yang positif tentang Arsenal,” kata Mertesacker ketika ditemubual oleh Skysports.

Meskipun Mertesacker menjelaskan dia tidak tahu sama perjanjian antara Podolski dan Arsenal sudah termetrai atau belum namun dia berharap agar penyerang Jerman kelahiran Poland itu dapat menyertainya di Emirates. Sementara itu, Lukas Podolski dikhabarkan sudah bersetuju untuk menerima tawaran ke Arsenal dengan yuran perpindahan dianggarkan bernilai £10.9 juta.

Ketika ini, Per Mertesacker kini sedang melalui proses pemulihan setelah menjalani pembedahan ligamen buku lali ekoran kecederaan yang dialaminya ketika Arsenal menewaskan Sunderland 2-1 dalam saingan Liga Perdana Inggeris pertengahan Februari lalu. Mertesacker berharap dia dapat kembali pulih dengan segera untuk membantu Arsenal menghadapi baki saingan musim ini dan menyertai skuad kebangsaan Jerman dalam Kejohanan EURO 2012 pada Jun nanti.

This entry was posted in Perpindahan and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply