[LUMBA BASIKAL] PRESTASI PELUMBA NEGARA MEMBANGGAKAN DI LTdL 2012

Le Tour de Langkawi 2012 melalui sepuluh peringkat sejauh 1415.5 km melabuhkan tirai seminggu yang lalu menyaksikan pelumba Colombia, Jose Serpa mewakili pasukan Androni Giocattoli muncul juara keseluruhan. Di sebalik penguasaan pelumba elit dari Eropah dan Amerika Latin, namun prestasi pelumba negara jelas tidak mengecewakan menyaksikan beberapa pelumba tempat berjaya mencuri tumpuan dalam aksi perlumbaan berkelas dunia.

Kejayaan dua anak muda kelahiran Terengganu, Harrif Salleh dan Anuar Manan jelas menghadirkan kegembiraan di sanubari rakyat Malaysia. Meskipun dibayangi kehebatan jaguh pecut dari Eropah namun Harrif Salleh berjaya menduduki tempat ketiga pada perlumbaan peringkat keempat dan tempat kedua semasa perlumbaan peringkat kelapan sementara Anuar Manan berjaya menduduki tempat ketiga di peringkat ketiga.

Malah, beberapa pelumba negara turut terlepas podium apabila sekadar menduduki tempat keempat antaranya Adiq Hussaini Othman dan Zamri Salleh selain Harrif Salleh dan Anuar Manan. Sepanjang kejohanan tahun ini, terdapat satu atau dua pelumba berjaya menduduki kedudukan 10 terbaik di kesemua peringkat kecuali di Genting Highland. Manakala di peringkat pendakian hors di Genting Highland, Muhamad Saufi Mat Senan dari pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) merupakan pelumba Malaysia terbaik apabila berjaya menduduki tempat ke-16 sekaligus memperbaiki pencapaian tahun lalu di tempat ke-21.

Sementara itu, Adiq Hussaini Othman yang mewakili Champion System Team muncul sebagai pelumba Malaysia terbaik apabila berjaya menduduki tempat ke-4 bagi kategori pelumba terbaik Asia dan ke-19 keseluruhan memperbaiki pencapaian tahun lalu yang berada di kedudukan ke-40 keseluruhan. Pelumba Terengganu Cycling Team, Muhamad Saufi Mat Senan pula berjaya menduduki tempat ke-5 dan kedudukan ke-22 keseluruhan. Selain itu, Mohd Fauzan Ahmad Lutfi berada di kedudukan ke-36 dan Mohd Shahrul Mat Amin di kedudukan ke-37 serta Amir Mustafa Rusli menamatkan kejohanan di tempat ke-44.

Bagi kategori berpasukan pula, pasukan Terengganu yang dibarisi empat pelumba kelahiran Terengganu dan 2 pelumba import iaitu Shinichi Fukushima dan Chang Jae Jang berjaya menduduki tempat ketiga kategori Asia dan ke-10 keseluruhan manakala pasukan Malaysia pula menduduki tempat ke-6 kategori Asia dan kedudukan ke-16 keseluruhan. Pencapaian ini gagal mengulangi kejayaan tahun 1999 apabila pasukan Malaysia muncul selaku pasukan terbaik Asia namun secara keseluruhan pencapaian tahun ini masih boleh dibanggakan.

Jurulatih pasukan lumba basikal lebuh raya kebangsaan, Syed Hussaini Syed Mazlan nyata berpuas hati dengan pencapaian anak-anak didik sepanjang Le Tour de Langkawi 2012.

“Pelumba-pelumba kita dalam LTdL kali ini nampak lebih berkeyakinan ketika bersaing dengan pelumba antarabangsa yang lain. Mereka menampakkan peningkatan yang ketara dalam setiap peringkat perlumbaan.”

“Walaupun pada peringkat pertama dan kedua, pelumba kita agak ketinggalan tetapi mereka berjaya memperbaiki kedudukan pasukan secara keseluruhan pada peringkat berikutnya,” kata Syed Hussaini.

Bagi edisi ke-17 tahun ini, Syed Hussaini mempertaruhkan kudrat pelumba senior, Suhardi Hassan yang digandingkan bersama Mohd. Nor Rizuan Zainal untuk meraih kedudukan terbaik.

“Dalam pasukan kebangsaan, kita tidak ada pakar pecut dan dari segi latihan, kita terapkan kepada pelumba serba boleh. Jadi, kita sandarkan kepada Suhardi Hassan dan Mohd Nor Rizuan Zainal untuk tugasan itu.

Sementara itu, tiga lagi pelumba – Mohd. Rauf Nur Misbah, Amir Mustafa Rusli dan Mohd. Fauzan Ahmad Lutfi diberi tanggungjawab pada peringkat pendakian, manakala Ahmad Falanie Ali untuk saingan domestik.

“Untuk perlumbaan LTdL 2012 ini, saya memang berpuas hati dengan prestasi mereka. Saya juga ingin ucap terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak memberi sokongan kepada pelumba-pelumba kita.

“Walaupun kita tidak menang apa-apa tetapi pelumba kita telah melakukan yang terbaik. Saya nampak mereka boleh pergi lebih jauh selepas ini,” katanya yang mula mengendalikan skuad kebangsaan pada 20 Disember 2011.

Sementara itu, Mohd. Fauzan Ahmad Lufti, 25, yang kembali beraksi di pentas acara berbasikal lebuh raya selepas menamatkan penggantungan selama dua tahun akibat penggunaan bahan perangsang terlarang, adalah pelumba terbaik skuad kebangsaan apabila menamatkan saingan di tempat ke-36 keseluruhan.

Menurut Syed Hussaini, selepas menghadapi LTdL 2012, para pelumba akan mempersiapkan diri untuk menghadapi dua kejohanan di luar negara – Jelajah Thailand (27 Mac) dan Jelajah Korea (22 April).

“Kita akan kekalkan enam pelumba sedia ada dan akan memasukkan tiga lagi pelumba iaitu Akmal Amrun, Nazri Ahmad dan Mohd. Khairul Azizi Abdullah bagi menghadapi kejohanan itu,” kata beliau lagi.

Incoming search terms:

  • pelumba basikal
This entry was posted in Lumba Basikal and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply