[KOMENTAR] KEHILANGAN SAMIR NASRI SUDAH DILUPAKAN ARSENAL

Pemergian Samir Nasri ke Manchester City pada 24 Ogos 2011 mengiringi Cesc Fabregas yang kembali menyertai kelab remajanya, Barcelona mengundang pelbagai reaksi dari pelbagai pihak dan media yang meramalkan Arsenal bakal menghadapi masalah besar bagi mengharungi saingan musim 2011/12. Kebenaran itu ada asasnya tatkala The Gunners terpaksa bergelut pada awal musim lalu yang merupakan permulaan terburuk Arsenal sejak 58 tahun yang lalu.

Namun, selepas tujuh bulan kehilangan kedua-dua pemain itu kian dilupakan dengan Arsenal kembali ke prestasi terbaiknya ketika ini. Penjualan kedua-dua pemain ini memberi impak kewangan yang lumayan kepada Arsenal di samping berjaya mendapatkan beberapa pemain baru sebagai penganti. Kehadiran Mikel Arteta, Gervinho, dan Oxlade-Chamberlain bergandingan bersama pemain-pemain lama seperti  Robin van Persie, Rosicky, Ramsey, Walcott, Alex Song dan lain-lain menjadi rencah baru persembahan Arsenal musim ini.

Paling mencuri tumpuan pastinya kelibat pemain berpengalaman, Tomas Rosicky dan bekas bintang Everton, Mikel Arteta yang berjaya membimbing pemain-pemain muda Arsenal untuk kembali menemui rentak kemenangan. Sementara itu, Wilshere terpaksa diketepikan untuk tempoh yang lama manakala Ramsey, Walcott, dan Gervinho masih gagal mengekalkan konsistensi dalam setiap perlawanan.

Musim lalu menyaksikan Nasri bangkit dari kekecewaan diketepikan dari skuad Piala Dunia Perancis 2010 di Afrika Selatan dengan mempamerkan aksi yang hebat menjaringkan 15 gol dan 5 assist dalam 45 penampilan sekaligus dinobatkan selaku pemain terbaik Arsenal bagi musim 2010/11. Kelibat Nasri dilihat berjaya memberi impak kepada corak permainan Arsenal serta berjaya mengalas tugas Fabregas tatkala kapten Arsenal itu sering diketepikan ekoran kecederaan.

Musim ini menyaksikan Nasri sering diketepikan dari skuad utama Man City dan diletakkan di bangku simpanan lantaran pengurus City memiliki ramai lagi pilihan pemain serangan seperti David Silva, James Milner, Yaya Toure, Adam Johnson, Gareth Barry dan Nigel de Jong. Statistik musim ini menyaksikan persembahan Walcott, Chamberlain dan Gervinho lebih baik berbanding Nasri musim ini.

Penjualan Nasri ke Man City membawa pulangan sebanyak £25 juta dan Arsenal membawa masuk Gervinho dengan nilai £10.6 juta dan Oxlade-Chamberlain bernilai £15 juta yang membuat kemunculan pada musim pertama di Liga Perdana Inggeris. Disebalik prestasi yang kurang konsisten dipamerkan oleh Theo Walcott, namun prestasi pemain sayap England itu jauh lebih baik berbanding  dengan prestasi Nasri  di Man City musim ini.

Jelas sekali pemergian Samir Nasri dan Cesc Fabregas menjadi satu rahmat buat pemain muda seperti Oxlade-Chamberlain, Francis Coquelin, Emannuel Frimpong, Nico Yennaris dan lain-lain untuk menampilkan aksi mereka bersama skuad utama Arsenal.

This entry was posted in Komentar and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply