[INFO] SEJARAH POLISI PEMAIN MUDA ARSENAL

Arsene Wenger sering dikritik hebat ekoran prestasi Arsenal yang tidak konsisten setelah mengharungi tujuh musim tanpa sebarang kejuaraan lantaran polisi pembelian pemain yang lebih cenderung menonjolkan pemain-pemain muda daripada membeli pemain terkenal. Namun, sejarah polisi pemain muda sudah mula diterapkan oleh Arsenal sejak dari 1960-an lagi dalam usaha untuk membina skuad yang mantap dan harmoni.

Tatkala skuad remaja Arsenal menjulang kejuaraan Piala FA Remaja pada tahun 1966 yang dibarisi oleh Peter Simpson, Jon Sammels, George Armstrong, Peter Storey, Ray Kennedy, Sammy Nelson, Pat Rice and John Radford. Gandingan pemain ini kemudiannya diserapkan ke dalam skuad utama dan berjaya menjulang kejuaraan berganda, Liga Divisyen satu dan Piala FA Inggeris di bawah kendalian Bertie Mee, lima tahun selepas itu pada 1971.

Skuad remaja Arsenal berjaya memenangi kejuaraan Piala FA Remaja pada tahun 1987 namun hanya Kevin Campbell bersama David Hillier dan Steven Morrow sahaja yang berjaya menempatkan diri dalam skuad utama Arsenal. Pemain-pemain remaja Arsenal sekali menjulang kejuaraan pada 1994 dan hanya Stephen Hughes seorang sahaja yang berjaya disenaraikan dalam skuad utama Arsenal.

Tahun 2000 dan 2001, Arsenal berjaya mendominasi kejuaraan remaja namun barisan pemain-pemain seperti Jeremie Alladiere, Stephen Sidwell, Moriss Volz, Jermain Pennant dan Justin Hoyte gagal menyerlah dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Arsenal sekali lagi berjaya menjulang kejuaraan dalam saingan remaja pada 2009  dan 2010 di mana skuad remaja Arsenal dibarisi oleh Emmanuel Frimpong, Francis Coquelin, Henri Lansbury, Niko Yennaris, Sanchez Watt, Craig Eastmond, Kyle Bartley, Chuke Aneke serta pemain muda sensasi Arsenal, Jack Wilshere. Prospek pemain-pemain muda ini memiliki masa depan yang cerah bersama Arsenal dan mula diserapkan ke dalam skuad utama Arsenal.

Namun, adakah polisi pemain muda ini akan berjaya? Adakan kita terlau mengharap kepada Wilshere untuk membantu Arsenal menjulang kejuaraan? Adakah perlu Arsenal menjual Wilshere untuk menjana pendapatan dan melahirkan pemain-pemain lagi? Sebagai contoh, Liam Brady bukan sahaja seorang pemain yang bagus tetapi juga berjaya memberi pulangan yang besar kepada kelab.

Arsenal terus kekal berdaya saing dan menjana keuntungan yang besar menerusi polisi pemain mudanya. Jika kita menganalisisa pemain-pemain dalam enam kelab utama dalam Liga Perdana Inggeris kini, jelas sekali kelab-kelab ini tidak melahirkan pemain-pemain sendiri sebaliknya bergantung kepada sumber kewangan untuk mendapat pemain-pemain berkualiti. Berikut adalah pemain-pemain yang dilahirkan akademi masing-masing.

Manchester United – Danny Welbeck, Tom Cleverly, Johny Evans

Liverpool – Steven Gerrard, Jamie Carragher, Jay Spearing, Jon Flanagan, Martin Kelly

Spurs – Ledley King, Jake Livermore, Adam Smith

Chelsea – Josh Mcreachran, John Terry, Sam Hutchinson

Manchester City – Micah Richards

Arsenal – Jack Wilshere, Kieran Gibbs, Henri Lansbury, Francis Coquelin, Emmanuel Frimpong, Niko Yennaris, Craig Eastmond, Sanchez Watt dll.

Lantaran itu, jelas kelihatan jurang yang besar antara pemain muda dengan pemain utama dalam kelab-kelab utama di Liga Perdana Inggeris. Tambahan pula, kelab-kelab utama ini keberatan untuk mempertaruhkan pemain muda demi pembangunan bola sepak Inggeris sebaliknya memilih untuk mendapatkan pemain-pemain ternama dari kelab-kelab lain. Sebaliknya, kelab-kelab kecil seperti Southampton, Leeds United, Sunderland dan lain lagi lebih banyak melahirkan pemain-pemain muda berbakat.

Ironinya, pendekatan baru ‘Kewangan Fairplay’ yang diperkenalkan akan mendorong kelab-kelab yang kaya seperti Man City dan Chelsea untuk fokus terhadap pembangunan pemain-pemain muda dan mengurangkan kebergantungan terhadap pembelian pemain bintang. Namun, Arsenal telah kehadapan dalam polisi pemain muda serta mengurangkan pengantungan terhadap pemain-pemain bintang dalam usaha untuk mewujudkan situasi kewangan kelab yang stabil dan berdaya saing.

Meskipun, penyokong-penyokong Arsenal masih mengingati pemain-pemain seperti Charlie George dan Pat Rice yang suatu ketika dahulu pernah menjulang kejuaraan bersama skuad remaja Arsenal pada tahun 1966 dan kejuaraan berganda bersama skuad utama pada 1971. Selain kelibat pemain seperti Tony Adam, David O’Leary, Ray Parlour, Martin Keown, David Seaman, Cliff Bastin, dan lain-lain turut dirindui oleh peminat-peminat Arsenal.

Dan kita seharus bersyukur kerana memiliki seorang pengurus yang bijak dalam mengimbangi situasi kewangan kelab dan berjaya mewujudkan skuad yang kekal berdaya saing meskipun mengharungi kemarau kejuaraan sejak tujuh musim yang lalu. Kita masih menaruh harapan yang tinggi agar skuad remaja yang menjulang kejuaraan Piala FA Remaja pada 2009 akan membantu Arsenal menjulang kejuaraan berganda beberapa tahun akan datang. Semoga impian akan menjadi satu kenyataan. COYG.

This entry was posted in Informasi and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply