[HOKI] MALAYSIA DIKECEWAKAN KOREA SELATAN

Skuad hoki negara dipalit kedukaan apabila dikecewakan Korea Selatan 2-3 dalam pusingan kelayakan Olimpik London 2012 semalam. Meskipun Malaysia berjaya bangkit dari ketinggalan 0-2 untuk mengikat kedudukan, namun jaringan lewat Jong Hyun Jang tiga minit sebelum perlawanan tamat menghancurkan impian Malaysia untuk menempah tiket awal ke perlawanan akhir Ahad ini.

Skuad negara menerima suntikan semangat apabila DYMM Sultan Azlan Shah dan presiden PHM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Duta Besar Malaysia ke Dublin hadir untuk memberi sokongan buat pasukan Malaysia yang turut disertai oleh sekumpulan pegawai dari PHM.

Malaysia menerima tamparan awal ketika perlawanan baru berusia 30 saat apabila Mohd Madzli Ikmar terpaksa dikeluarkan akibat terkena pukulan di muka dan digantikan oleh Mohd Amin Rahim. Faizal Saari pula mensia-siakan peluang kerana gagal menyempurnakan ‘set piece’ Mohd Amin Rahim apabila Malaysia dihadiahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-2.

Korea Selatan berjaya memanfaatkan peluang tatkala Nabil Fiqri Mohd Noor dilayangkan kuning apabila menjaringkan gol pada minit ke-5 menerusi You Hyo Sik yang melakukan percubaan susulan setelah Baljit Singh berjaya menghalang pukulan sudut penalti untuk menewaskan penjaga gol Malaysia, S.Kumar. Meskipun Korea terus mengasak kubu Malaysia, namun pertahan negara ampuh bertahan. Ketika perlawanan hampir menuju rehat, Malaysia dihadiahkan pukulan sudut penalti kedua, namun percubaan Mohd Amin Rahim berjaya dinafikan oleh Lee Myung Ho pada minit ke-34.

Skuad kendalian Tai Beng Hai terus memburu gol penyamaan sebaik perlawanan bersambung namun Korea pula berjaya mengandakan jaringan pada minit ke-43 sekali lagi menerusi You Hyo Sik yang cemerlang menerima pukulan panjang dari kawasan pertahan Korea meskipun cuba dihalang oleh Mohd Amin Rahim.

Namun semangat Malaysia tidak mudah patah apabila Hafifihafiz berjaya merapatkan jurang pada minit ke-55 sebelum Tengku Ahmad Tajuddin menemui sentuhan gol apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-59. Perlawanan kembali seimbang dengan kedua-dua pasukan menampilkan aksi kemas untuk menjaringkan gol kemenangan.

Tatkala perlawanan seakan berakhir dengan keputusan seri, Jong Hyun Jang muncul wira Korea Selatan apabila menjaringkan gol kemenangan. Kemenangan mengesahkan kemaraan Korea Selatan ke perlawanan akhir sementara satu tiket lagi bakal ditentukan dalam perlawanan Malaysia menentang Ireland esok.

Meskipun tewas skuad negara masih mempunyai peluang jika berjaya menewaskan Ireland tetapi bakal berhadapan tugas sukar lantaran Ireland memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri serta mendapat sokongan padu daripada penyokong-penyokong tempatan. Namun buat pasukan Malaysia, biar rebah jangan mengalah. Ayuh semarakan semangat ‘Malaysia Boleh’.

Rujukan : www.malaysianhockey.blogspot.com

This entry was posted in Hoki and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply