[HOKI] MALAYSIA CATAT KEMENANGAN BERGAYA KE ATAS RUSIA

Skuad hoki negara mempamer kebangkitan menakjubkan apabila membelasah Rusia 6-2 di Dublin, Ireland pada pusingan kelayakan Olimpik London 2012. Kemenangan ini adalah yang kedua selepas membenam cabaran Chile 5-1 pada aksi pertama kelmarin sekaligus mencerah peluang Malaysia untuk mara ke Sukan Olimpik 2012 namun bakal berdepan saingan sengit dari pasukan tuan rumah, Ireland dan Korea Selatan.

Skuad bimbingan Tai Beng Hai yang masih bergelut mencari rentak tersentak apabila ketinggalan 2-0 ketika perlawanan baru berusia 18 minit menerusi jaringan Pavel Golubev yang menghukum kealpaan benteng pertahanan Malaysia. Namun, Muhd. Amin Rahim berjaya mengurangkan defisit gol apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti sebelum rehat.

Skuad negara tampil berbeza pada separuh masa kedua dengan aksi yang lebih kemas dan teratur. Hasilnya, Muhd. Amin Rahim berjaya menyamakan kedudukan 2-2 hasil pukulan sudut penalti tiga minit selepas babak kedua bermula. Penyerang muda negara, Faizal Saari kembali memberi kelegaan buat  penyokong Malaysia apabila menghadiahkan gol ketiga juga menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-45.

Malaysia terus ghairah memburu gol kali ini menerusi kapten pasukan, Muhd. Razie Rahim pada minit ke-52 apabila menyempurnakan set-piece pukulan sudut penalti. Muhd. Amin Rahim melengkapkan hatriknya apabila menyempurnakan pukulan penalti selepas Tengku Ahmad Tajuddin dikasari dalam kawasan penalti pada minit ke-54 sebelum Hafifi Hafiz Hanafi turut mencatat nama selaku penjaring melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia lima minit sebelum perlawanan tamat.

Kemenangan ini masih belum cukup selesa buat Malaysia meskipun berjaya mengutip enam mata kerana dua pencabar utama, Ireland dan Korea Selatan turut mencatat kemenangan besar dalam aksi pertama kelmarin. Skuad negara perlu menampilkan aksi yang konsisten dan bertenaga apabila berdepan dengan lawan sebenar itu nannti. Namun sebelum itu, Malaysia bakal menentang Ukraine pada perlawanan ketiga esok.

This entry was posted in Hoki and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply