[EPL] ASTON VILLA BERTANDANG KE EMIRATES PENUH DEBARAN

Arsenal masih segar dengan kejayaan memintas Spurs Khamis lalu meskipun sekadar dibezakan dengan satu mata. The Gunners berjaya bangkit dari episod duka dengan mempamerkan kebangkitan apabila merekodkan enam kemenangan menewaskan Blackburn, Tottenham, Newcastle United di laman sendiri dan Sunderland, Liverpool dan Everton di gelanggang lawan sejak 4 Februari yang lalu. Malam ini, Arsenal bakal melayan kunjungan Aston Villa di Emirates.

Skuad Arsenal tidak mengalami sebarang kecederaan terbaru dengan Abou Diaby, Sebastian Squillaci dan Francis Coquelin berada di fasa terakhir pemulihan. Jack Wilshere pula semakin pulih namun tiada tarikh yang ditetapkan untuk pemain tengah ini kembali beraksi. Situasi ini pastinya memberi pilihan untuk Arsene Wenger melakukan pengiliran pemain bagi mengekalkan momentum kemenangan.

Sementara itu, rakan sejawat Wenger di Aston Villa, Alex McLeish pula tidak dapat menurunkan yang sama ketika menewaskan Fulham 1-0 dua minggu lalu lantaran bakal kehilangan khidmat Darren Bent, Ciaran Clark, Richard Dunne, dan Fabian Delph yang disisihkan kerana kecederaan manakala Charles N’Zogbia berada dalam keraguan ekoran mengalami kecederaan ligament lutut semasa sesi latihan. Namun, Villa mempunyai rehat yang panjang selepas perlawanan menentang Bolton Khamis lalu ditangguhkan.

Pengurus Arsenal, Wenger dijangka akan menerapkan corak pemainan serangan untuk memburu gol awal menerusi asakan di bahagian sayap terutama menerusi Walcott dan Ramsey sementara Rosicky bakal bertindak selaku ‘playmaker’ di bahagian tengah. Arsenal juga tampak semakin berjaya memanfaatkan kelebihan ‘set piece’ dan sepakan sudut beberapa perlawanan kebelakangan ini pastinya akan mengundang resah di benak McLeish. Robin van Persie sekali lagi akan menjadi tumpuan untuk merobek kubu Villa.

Sementara itu, Arsenal perlu waspada dengan Agbonlahor yang lincah dan sukar dikawal di samping tidak melupakan kelibat Petrov, Ireland dan Albrighton  yang memiliki kepakaran melakukan rembatan jarak jauh. Selain itu, barisan pertahanan The Gunners perlu bersedia untuk menghadapi corak permaianan serangan balas oleh skuad kendalian McLeish. Namun, jika Alex Song beraksi pada prestasi sebenar, Arsenal tidak perlu risau dengan ancaman dari barisan serangan Villa.

BARISAN KEMUNGKINAN

Pengadil : Phil Dowd

Ramalan : Arsenal (3) vs Aston Villa (1)

FAKTA MENARIK

  • Kedua-dua pertemuan telah bertemu sebanyak 183 kali dengan Arsenal menang 74 kali sementara Aston Villa menang 65 kali dan 44 kali berakhir dengan keputusan seri.
  • Arsenal berjaya bangkit dari ketinggalan 2-0 untuk menewaskan Aston Villa 3-2 dalam saingan Piala FA pada 29 Januari lalu.
  • Kali terakhir Aston Villa berjaya memenangi perlawanan di tempat lawan 2 bulan yang lalu menewaskan Wolves 3-2 di Stadium Molinuex pada 21 Januari 2012.
  • Pemain tengah Arsenal, Mikel Arteta merupakan pemain paling banyak melakukan hantaran dalam Liga Perdana Inggeris dengan 1892.
  • Dalam 6 perlawanan terakhir, Aston Villa cuma berjaya menewaskan Arsenal sekali sahaja.
  • Pemain pertahanan Arsenal, Laurent Koscielny merupakan pemain yang paling banyak melakukan terjahan berbanding dengan pemain pertahanan yang lain.
  • Arsenal cuma tewas 2 kali dalam 26 perlawanan terakhir menentang Aston Villa.
  • Aston Villa berada di kedudukan ke-15 dengan 33 mata sementara Arsenal pula berada di posisi ke-3 Liga Perdana Inggeris dengan 55 mata.
This entry was posted in Pra-Perlawanan and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply