[EPL] ARSENAL AKAN BERTANDANG KE LOFTUS ROAD

Arsenal bakal bertandang ke Loftus Road malam nanti menentang skuad taikun syarikat penerbangan Malaysia, Tan Sri Tony Fernandes diramal mudah untuk melakar satu lagi siri kemenangan tatkala Queen Park Rangers (QPR) pula kini berada di zon penyingkiran. Misi sukar buat QPR untuk menghalang Arsenal dari terus melebarkan kemenangan lantaran skuad bimbingan Arsene Wenger berada di prestasi yang terbaik bagi musim ini.

The Gunners bakal membariskan skuad utamanya kecuali Koscielny yang masih dalam keraguan dan berkemungkinan akan digantikan dengan Djourou  untuk bergandingan bersama Vermaelen dan Sagna. Kieran Gibbs pula akan terus diberi kepercayaan untuk mengisi posisi bek kiri meskipun Andre Santos sudah cergas sepenuhnya. Sementara itu, Jack Wilshere dan Francis Coquelin memerlukan beberapa minggu lagi untuk cergas sepenuhnya.

Arteta dan Alex Song akan terus bergandingan bersama Rosicky bagi mencorak permainan dan menjana serangan Arsenal. Walcott yang berada di prestasi terbaiknya ketika ini diharapkan untuk merobek kubu QPR bersama dengan Gervinho dan penyerang prolifik Arsenal, Robin van Persie. Jentera serangan Arsenal cukup cemerlang musim ini dengan meledak 61 jaringan dari 30 perlawanan dan cuma gagal menjaringkan sebarang gol dalam 4 perlawanan setakat ini dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Manakala pengurus QPR, Mark Hughes pula bakal kehilangan khidmat beberapa pemain antaranya Djibril Cisse yang menjalani pengantungan 4 perlawanan oleh FA England. Pemain pertahanan Fitz Hall dan Clint Hill masih dibelenggu kecederaan bakal memberi laluan buat Nedum Onuoha untuk bergandingan bersama Anton Ferdinand di barisan pertahanan. Pemain bek kiri, Taye Taiwo pula akan diturunkan untuk mengantikan Armad Traore yang mengalami kecederaan hamstring.

Bobby Zamora pula akan diturunkan bergandingan bersama Wright-Phillip ekoran kecederaan yang menimpa Heidar Helguson dan DJ Campbell. Sementara itu, bahagian tengah QPR bakal diterajui oleh Jamie Mackie, Joey Barton, Shaun Derry dan Samba Diakite. Rekod lima perlawanan terakhir menyaksikan QPR cuma memenangi satu perlawanan serta tewas tiga kali dan seri sekali.

Arsenal dijangka akan mudah untuk meraih 3 mata lagi bagi menerus cengkaman dikedudukan ke-3 Liga Perdana Inggeris dibelakang Man United dan Man City. Penguasaan bola bakal menjadi milik Arsenal dengan QPR akan menampilkan aksi bertahan dan mengharapkan serangan balas untuk mendapatkan gol.

Namun, skuad kendalian Mark Hughes ini bakal memanfaatkan kelebihan sepakan percuma dan sepakan sudut serta hantaran jauh. Selain itu, QPR bakal mengguna kelebihan pemain-pemainnya yang mampu melakukan percubaan dari jarak jauh. Tempo perlawanan malam ini dijangka sedikit perlahanan dengan pemain berhati-hati bagi mengelak layangan kad kerana Mike Dean terkenal sebagai seorang pengadil yang tegas.

BARISAN KEMUNGKINAN

Pengadil : Mike Dean

Ramalan : QPR (0) vs Arsenal (2)

FAKTA MENARIK

  • QPR cuma berjaya memenangi satu perlawanan dalam 5 pertemuan menentang kelab London ketika menewaskan Chelsea pada 23 Oktober lalu.
  • Arsenal gagal menewaskan QPR di Loftus Road sejak 11 tahun lalu setelah kali terakhir pada musim 1990/91 dengan kemenangan 1-0.
  • Boby Zamora merupakan pemain yang menjaring gol kemenangan ketika membantu Fulham menewaskan Arsenal pada 2 Januari lalu sebelum berhijrah ke Loftus Road.
  • Sembilan pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris namun lima perlawanan berakhir dengan keputusan seri manakala QPR berjaya menewaskan Arsenal sebanyak dua kali dengan keputusan 3-1.
  • QPR merupakan pasukan yang paling banyak dilayangkan merah dengan 6 kali.
  • Pemain tengah Arsenal, Mikel Arteta bakal membuat penampilan ke-200 dalam Liga Perdana Inggeris untuk menjadi pemain ketiga terbanyak selepas Pepe Reina (250) dan Cesc Fabregas (212).
  • QPR kali terakhir berjaya mengelak gawang dari dibolosi pada 23 Oktober lalu ketika menewas Chelsea 1-0 di Loftus Road yang menyaksikan dua pemain Chelsea dibuang padang.
  • Arsenal berjaya menewaskan QPR 1-0 di Emirates pada 31 Disember 2011 menerusi jaringan Robin van Persie.
  • QPR kini berada dikedudukan ke-18 dengan mencatatkan 6 kemenangan, 7 seri dan 17 kekalahan.
This entry was posted in Pra-Perlawanan and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply