[EPL-30] ARSENAL GARANG BENAM ASTON VILLA

Arsenal terus melebarkan rekod kemenangan ketujuh berturut-turut menewaskan Aston Villa di Emirates sekaligus mengukuhkan cengkaman di kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris tatkala dua pencabar terdekat, Chelsea dan Spurs keciciran mata Sabtu lalu. Aston Villa pula terus dihambat kedukaan apabila ditewaskan oleh Arsenal 3-0 hasil jaringan Kieran Gibbs dan Theo Walcott serta Mikel Arteta kini terperosok di kedudukan ke-15 liga.

Arsene Wenger menurunkan Djourou untuk bergandingan bersama Vermaelen selaku pertahanan tengah manakala posisi bek kiri diisi Sagna dan Gibbs. Sementara di bahagian tengah pula, gandingan Song-Rosicky-Arteta terus diberi kepercayaan untuk mencorak permainan dan menjana serangan. Gervinho pula kembali ke dalam kesebelasan utama untuk menerajui jentera serangan bersama Robin van Persie dan Theo Walcott.

Sebaik sepak mula, Arsenal mula mengasak benteng pertahanan Villa yang dikemudi oleh Warnock-Cuellar-Hutton-Collins sebaliknya Aston Villa nyaris memperolehi gol awal apabila serangan balas pantas yang dilakukan oleh Marc Albrighton berjaya memerangkap pertahanan Arsenal namun percubaannya sedikit tersasar. Percubaan Robin van Persie pada minit ke-9 berjaya ditampan oleh Shay Given manakala percubaan susulan oleh Sagna tersasar.

Kieran Gibbs akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila berjaya melepasi kawalan tiga pertahanan sebelum merembat bola ke gawang Villa pada minit ke-16. Arsenal terus garang menburu gol kali ini giliran Walcott pula yang menemui sentuhan apabila menyudahkan hantaran lambung dari Alex Song pada minit ke-25. Villa sekali sekala cuba mengasak kubu Arsenal menerusi serangan balas namun pertahanan Arsenal ampuh bertahan.

Arsenal kian berselera untuk menambah jaringan namun kecekapan Shay Given menjadi penghalang percubaan Robin van Persie pada minit ke-26 dan rembatan padu kaki kanan Arteta pada minit ke-28. Robin van Persie sekali lagi hampir menambah gol ketiga Arsenal namun percubaannya pada minit ke-37 berjaya ditanduk keluar oleh Stephen Warnock tatkala  Shay Given sudah pun  tertewas.

Sebaik separuh masa kedua bersambung, Arsenal mula memperlahan tempo permainan dengan kawalan bola kembali seimbang. Andreas Weisman berjaya mencipta ruang buat Aston Villa menjaringkan gol namun hantaran lintangnya gagal disambar oleh Agbonlahor. Tomas Rosicky turut menguji kecekapan Given menerusi percubaannya pada minit ke-57 dan 62 namun berjaya dinafikan. Aaron Ramsey yang masuk mengantikan Gervinho namun rembatannya pada minit ke-75 sedikit tersasar.

The Gunners terus kecewa apabila dinafikan sepakan penalti oleh Phil Dowd setelah Oxlade-Chamberlain yang masuk mengantikan Walcott dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-82. Robin van Persie pula terus buntu menjaringkan gol apabila tandukan pada minit ke-90 sedikit tersasar. Stadium Emirates akhirnya kembali gempita apabila Mikel Arteta berjaya melakukan sepakan percuma yang cantik dari jarak 32 meter pada minit ke-93 setelah Alex Song dikasari untuk gol ketiga Arsenal.

Kemenangan ini terus meletakkan Arsenal kekal konsisten untuk menamatkan persaingan liga di kedudukan ketiga sekaligus merebut tiket automatik ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan. Namun sedikit kelemahan di bahagian pertahanan yang gagal mengekang serangan balas pantas dari pihak lawan. Sementara itu, Johan Djourou yang sering dikritik ekoran prestasinya yang tidak menyerlah sebelum ini berjaya menampilkan aksi yang terpuji sepanjang perlawanan

MAN OF THE MATCH : THEO WALCOTT

This entry was posted in Ulasan and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply