[EPL] ARSENAL MEMBURU 3 MATA DI GOODISON PARK

Pertembungan Arsenal menentang Everton awal pagi nanti bakal menyaksikan kepulangan Mikel Arteta ke Goodison Park buat pertama kali sejak menyertai Arsenal pada 31 Ogos 2011 yang lalu. Arsenal pastinya akan berjuang habis-habisan untuk membawa pulang tiga mata ke Emirates untuk terus menghimpit Spurs yang sekadar dibezakan dengan satu mata sekaligus mengukuhkan cengkaman di kedudukan keempat Liga Perdana Inggeris.

Sementara itu, Arsenal juga mengharap agar Chelsea keciciran mata yang bertandang ke Stadium Etihad awal pagi nanti. Namun, Everton pula pastinya mahu meneruskan kebangkitan untuk memperbaiki kedudukan ke-10 ketika ini. Skuad kendalian David Moyes ini melalui permulaan musim yang kurang memberansang dan mula mempamerkan kebangkitan sejak beberapa perlawanan yang lalu.

Arsenal ketika ini memiliki pemain-pemain yang cergas sepenuhnya dan tiada kecederaan baru yang dialami oleh anak-anak buah Arsene Wenger dan dijangka akan menurunkan skuad yang sama ketika Arsenal menewaskan Newcastle United dua minggu lalu. Sementara itu, Aaron Ramsey dan Gervinho dijangka bakal diletakkan di bangku simpanan berkemungkinan diturunkan untuk menambah sengat jentera serangan di pertengahan separuh masa kedua nanti.

Everton bakal turun beraksi tanpa Darron Gibson dan Jack Rodwell bakal diketepikan ekoran kecederaan manakala Seamus Coleman pula mempunyai 50-50 kerana mengalami kecederaan paha semasa perlawanan menentang Sunderland. Skuad kendalian David Moyes ini sedikit keletihan lantaran beraksi dalam saingan suku akhir Piala FA bertemu Sunderland yang berkesudahan seri 1-1 Sabtu lalu. Nikica Jelavic dijangka direhatkan dan bakal memberi laluan buat Dennis Stracqualursi atau Victor Anichebe sementara Steven Pienaar kembali akan mengemudi bahagian tengah Everton.

BARISAN KEMUNGKINAN

Pengadil  :  Lee Mason

Ramalan  :  Everton (1) vs Arsenal (3)

FAKTA MENARIK

  • Everton tewas 7 kali dan seri dua kali dalam 9 pertemuan terakhir menentang Arsenal.
  • Arsenal merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya memenangi perlawanan setelah bangkit dari ketinggalan dalam 4 perlawanan berturut-turut.
  • Tim Cahill telah menjaringkan 3 gol dalam 4 perlawanan terakhir menentang ‘The Gunners’ di Goodison Park.
  • Penyerang prolifik, Robin van Persie telah menjaringkan 44 gol dalam 45 perlawanan Liga Perdana Inggeris.
  • Eveton tidak bolos dalam 3 perlawanan terakhir di Goodison Park.
  • Lee Mason merupakan pengadil yang membenarkan jaringan kontroversi Everton ketika menentang Arsenal di Stadium Emirates musim lalu.
  • Arsenal berjaya mengumpul 19 mata sejak bulan Februari lalu paling banyak berbanding pasukan lain.
  • Everton cuma membenarkan 31 gol menerjah gawang mereka dan merupakan pasukan ke-4 kurang dibolosi di belakang Man City, Man United dan Liverpool.
  • Arsenal berjaya menjaringkan 13 gol dalam 4 kunjungan terakhir ke Goodison Park.
This entry was posted in Pra-Perlawanan and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply