[EPL-29] ARSENAL RAMPAS KEDUDUKAN KE-3 LIGA PERDANA INGGERIS

Arsenal meneruskan rentak kemenangan ke-6 berturut-turut apabila menewaskan Everton 1-0 di tempat lawan. Thomas Vermaelen sekali lagi muncul wira Arsenal apabila jaringanya pada minit ke-8 kekal hingga tamat perlawanan. Kegembiraan berganda buat Arsenal apabila musuh setempat, Tottenham diikat seri 1-1 oleh Stoke City sekaligus memberi ruang buat The Gunners memintas Spurs untuk berada di kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris.

Arsene Wenger menurunkan hampir keseluruhan skuad yang sama ketika Arsenal menumpaskan Newcastle minggu lalu kecuali Ramsey yang dimasukkan mengantikan Oxlade-Chamberlain di bahagian sayap kiri. Sementara itu, Rosicky kekal mengemudi bahagian tengah bersama Arteta dan Alex Song untuk membantu jentera serangan yang diterajui oleh Robin van Persie dan Theo Walcott. Gandingan Sagna-Koscielny-Vermaelen-Gibbs kekal di bahagian pertahanan.

Arsenal mengasak kubu Everton sebaik sahaja perlawanan dimulakan. Aaron Ramsey yang kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama terlebih dahulu menguji gawang The Toffees namun rembatanya pada minit ke-4 tersasar setelah menerima umpanan cantik dari Robin van Persie manakala sepakanya pada minit ke-7 berjaya dihalang oleh pertahanan Everton.

Bermula dari satu sepakan sudut oleh Robin van Persie, Vermaelen menceriakan kem Arsenal apabila berjaya melepasi kawalan pertahanan Everton untuk menanduk masuk gol pertama menewaskan penjaga gawang Everton, Tim Howard pada minit ke-8. Arsenal terus garang mengasak gawang Everton kali ini menerusi Robin van Persie namun sepakan berjaya ditepis keluar oleh Howard sementara percubaan susulan Ramsey sekali lagi berjaya dihalang oleh pertahanan Everton.

Everton yang melakukan serangan balas namun tandukan Nikica Jelavic pada minit ke-14 tersasar. Kesilapan Alex Song mengeluarkan bola mengundang padah apabila dirampas oleh Leon Osman dan membuka ruang buat Cahill yang bijak melorongkan bola kepada Royston Drenthe yang berjaya melepaskan rembatan kencang menewaskan Szczesny pada minit ke-30 namun dibatalkan pengadil kerana offside.

Szczesny terus cemerlang menafikan percubaan Everton apabila mudah menangkap kemas tandukan Mauroane Fellani pada minit ke-58. Robin van Persie berjaya menyambut hantaran Gibbs namun rembatan sekadar mengegar tiang pada minit ke-72 manakala percubaan Ramsey seminit selepas itu berjaya ditampan oleh Howard.

Drenthe sekali cuba menembusi gawang Arsenal pada minit ke-78 namun rembatan sedikit melewati palang. Penyerang prolifik Arsenal, Robin van Persie terus kecewa apabila rembatan pada minit ke-85 melambung tinggi dan keputusan 1-0 ini kekal hingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini menghadir keceriaan di kem Arsenal apabila Chelsea dan Liverpool tewas kepada lawan masing-masing sekaligus melebarkan jurang mata dengan Arsenal. Manakala Spurs pula terpaksa menerima hakikat dipintas Arsenal dengan perbezaan 1 mata selepas diikat seri 1-1 di lama sendiri. Arsenal pula terus cemerlang memungut 19 mata dari 7 perlawanan terakhir.

MAN OF THE MATCH : THOMAS VERMAELEN

This entry was posted in Ulasan and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply