[EPL-24] ARSENAL MEMBELASAH BLACKBURN 7-1

Arsenal kembali mempamerkan kualiti sebenar apabila membelasah Blackburn Rovers 7-1 di Emirates kelmarin setelah melalui aksi hambar sepanjang bulan Januari lalu dengan sekadar meraih satu mata dari 3 perlawanan  dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Arsenal menurunkan skuad yang sama ketika seri dengan Bolton Wanderers Rabu lalu kecuali Aaron Ramsey yang digantikan dengan Tomas Rosicky.

Robin van Persie memulakan pesta gol Arsenal apabila mudah menolak masuk hantaran lintang Theo Walcott seawal minit ke-2. Namun Blackburn cuba bangkit untuk melawan berjaya memperoleh sepakan percuma di depak kotak penalti setelah Koscielny menjatuhkan Anthony Modeste dan Morten Gamst Pedersen berjaya meledakan rembatan kencang tepat ke penjuru kiri gawang Arsenal yang gagal untuk diselamatkan oleh penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczęsny.

Arsenal kembali mengatur rentak dan berjaya memperolehi gol kedua juga menerusi  Robin van Persie yang menolak masuk bola hasil hantaran Theo Walcott pada minit ke-38. Dua minit berselang, giliran kapten Arsenal itu pula mencipta ruang buat bintang muda sensasi Arsenal, Oxlade-Chamberlain untuk menjaringkan gol pertamanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Blackburn pula semakin dirundung malang apabila pemain pertahanannya dibuang padang kerana melakukan terjahan keras ke atas Robin van Persie.

Sebaik babak kedua bermula, Arsenal terus ghairah memburu gol. Bermula dari satu sepakan penjuru yang ditanduk keluar oleh pertahanan Blackburn tetapi singgah dikaki Arteta yang mudah melepaskan satu sepakan tepat ke penjuru gawang Blackburn pada minit ke-51. Blackburn terus derita apabila Walcott berjaya melepasi kawalan 4 pemain Blackburn sebelum membuka ruang buat Chamberlain untuk menjaringkan gol kelima Arsenal pada minit ke-54.

Robin van Persie terus menjadi duri dalam daging buat Blackburn apabila berjaya meledak hatriknya pada minit ke-62 apabila mudah menolak masuk hantaran Coquelin dari sebelah kanan. Selesa dengan kedudukan itu, Arsenal mula memperlahankan rentak pemainan dan merehatkan beberapa tonggak. Ketika perlawanan berbaki 23 saat untuk ditamatkan Henry melengkapkan pesta gol Arsenal apabila tenang menyempurnakan hantaran dari van Persie untuk gol ke-7 Arsenal.

Kemenangan ini diharapkan dapat memberi keyakinan kepada pemain-pemain Arsenal untuk menghadapi beberapa lawan sukar sepanjang bulan Februari ini. Kemasukan Rosicky mengantikan Ramsey yang direhat jelas menghidupkan kreativiti jentera serangan Arsenal. Kepantasan Walcott dan Chamberlain pula jelas gagal untuk dikekang oleh pertahanan Blackburn. Manakala barisan pertahanan Arsenal tidak menghadapi banyak ujian dari jentera serangan Blackburn. Oxlade-Chamberlain telah dipilih selaku pemain terbaik perlawanan ini atas sumbangan dua gol dan kelicahannya yang seringkali mengucar-kacirkan pertahanan lawan.

Sumber : BBC Sports

This entry was posted in Ulasan and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply