[PIALA CARLING] LIVERPOOL JUARA, CARDIFF KECEWA

Liverpool berjaya menamatkan kemarau kejuaraan sejak 6 tahun lalu apabila menjulang  Piala Carling setelah menewaskan Cardiff City dalam penentuan sepak penalti di Stadium Wembley, semalam. Kejayaan manis ini merupakan kejuaraan pertama ‘The Red’ dibawah kendalian Kenny Daglish yang merupakan bekas pemain lagenda Liverpool.

Liverpool ghairah memburu kejuaraan pertama setelah kali terakhir menjulang Piala FA pada tahun 2005 di mana percaturan Kenny Daglish nyaris membuahkan hasil apabila percubaan Glen Johnson pada minit kedua mengegar tiang. Namun Cardiff City berjaya memecah kebuntuan gol menerusi jaringan Joe Mason yang menyempurnakan hantaran Kenny Miller pada minit ke-19.

Meskipun menguasai permainan, Liverpool buntu memburu gol terutama menerusi Steward Downing yang kerap mengancam kubu ‘The Bluebirds’. Akhirnya gawang Cardiff bolos jua apabila Martin Skrtel melakukan sepakan susulan setelah Suarez menanduk sepakan sudut Steward Downing pada minit ke-60. Kenny Miller nyaris memberi gol kemenangan buat Cardiff apabila sepakan percuma sedikit melewati palang.

Setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1, perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan. Pemain gantian Liverpool, Dirk Kuyt berjaya menjaringkan gol pada minit ke-108. Cardiff tidak cepat mengalah dan berjaya menyamakan kedudukan 2 minit sebelum masa tambahan tamat menerusi jaringan Ben Turner. Kedudukan kekal hingga wisel penamat dibunyikan dan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.

Pada penentuan penalti, sepakan pertama Liverpool menerusi kapten, Steven Gerrard berjaya diselamatkan penjaga gol Cardiff, Tom Heaton. Mujur sepakan pertama Cardiff menerusi Kenny Miller juga sekadar menggegar tiang untuk kedudukan terikat 0-0. Gusar Liverpool bertambah selepas Charlie Adam gagal menyudahkan sepakan kedua disusuli sepakan kedua Cardiff yang menggegar jaring menerusi Don Cowie untuk kedudukan 1-0 buat kelab milik usahawan Malaysia itu.

Namun sepakan ketiga Liverpool berjaya disudahkan Kuyt untuk mengikat kedudukan 1-1 dan tekanan bertukar tangan apabila sepakan ketiga Cardiff menerusi Rudy Gestede pula diselamatkan Pepe Reina. Bagi sepakan keempat, Stewart Downing menjadikan kedudukan 2-1 buat Liverpool tetapi Peter Whittingham kembali mengikat 2-2 buat Cardiff. Sepakan kelima akhirnya menjadi pemisah apabila Glen Johnson menyudahkannya untuk Liverpool mendahului 3-2 manakala sepakan terakhir Cardiff menerusi sepupu kepada kapten Liverpool, Anthony Gerrard sekadar sipi, sekali gus memberikan kemenangan buat Liverpool.

Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish berkata: “Ia satu perjalanan panjang untuk menjuarainya tetapi nama kami akhirnya terukir pada trofi ini, itu lebih bermakna. Pemain sudah melakukan yang terbaik tetapi Cardiff sentiasa memberi kesukaran kepada kami.”

Sementara itu, pengurus Cardiff City, Malky Mackay pula berkata: “Kebangkitan pada masa tambahan cukup membuatkan saya bangga dengan para pemain. Mereka masih muda, kebanyakannya baru pertama kali beraksi di pentas final seperti ini.”

This entry was posted in EPL and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply