[EPL-23] ARSENAL TERCICIR 2 MATA DI STADIUM REEBOK

Arsenal terpaksa menelan kepahitan apabila sekadar seri 0-0 dengan Bolton Wanderers semalam. Arsenal kini turun ke tangga ke-7 Liga Perdana Inggeris apabila dipintas oleh Newcastle United dan Liverpool yang mencatatkan kemenangan selesa. Meskipun menurunkan hampir kesemua pemain utama kecuali Gervinho, namun Arsenal gagal membawa 3 mata berharga dan ini jelas mengecewakan jurulatih dan penyokong-penyokong Arsenal dalam misi untuk mengisi slot 4 pasukan terbaik Liga Perdana Inggeris.

Arsenal bermula garang mengasak gawang Bolton yang dikawal ketat oleh Adam Bogdan dan hampir memperolehi gol pertama namun tandukan van Persie diselamatkan oleh pertahanan Bolton, David Wheater di atas garisan gol pada minit ke-9. Chamberlain pula mensia-siakan peluang terbuka di depan pintu gol apabila percubaannya dalam kotak penalti tersasar pada minit ke-18.

Namun kealpaan benteng pertahanan Arsenal hampir membawa padah apabila Ngog berjaya melepas kawalan pada minit ke-23 namun percubaan sedikit tersasar. Walcott berjaya melepas perangkap offside untuk menerima hantaran Chamberlain pada minit ke-26 tetapi gagal menemui sentuhan gol meskipun berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol Bolton.

Separuh masa kedua Arsenal terus mengandakan asakan namun peluang terbaik Arsenal hadir menerusi rembatan Robin van Persie pada minit ke-68 dinafikan oleh tiang manakala percubaannya pada minit ke-80 sekadar menggegar palang. Bolton yang sekali-sekala mengasak nyaris memperoleh sepakan penalti pada minit-ke-88 apabila Davies dijatuh oleh Szczesny namun pengadil meneruskan perlawanan. Kedua-dua pasukan saling mengasak namun buntu menghasilkan gol sehingga perlawanan tamat.

This entry was posted in Ulasan and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply