[CORETAN] SUKA DUKA ARSENAL SEPANJANG 2011

Tirai 2011 sudah berlabuh, kini cabaran dan debaran tahun 2012 kian dirasai oleh peminat Arsenal khususnya di Malaysia. Pastinya episod suka duka sepanjang tahun lalu akan terus segar dan tersemat dalam sanubari setiap penyokong-penyokong Arsenal. Disini rangkuman beberapa catatan suka duka sepanjang 2011.

1–Kemenangan yang diragut di St. James Park – 5 Feb 2011

Segalanya tampak mudah buat Arsenal yang pada ketika itu berada di kedudukan ke-2 Liga Perdana Inggeris. Arsenal bermula garang apabila mendahului seawal 40 saat hasil jaringan Walcott sebelum Djourou menambah gol kedua pada minit ke-3 dan gol ketiga menerusi Robin van Persie pada minit ke-10. Arsenal terus selesa di depan apabila van Persie sekali lagi menemui sentuhan pada minit ke-26 menuju rehat.

Segalanya berubah apabila Diaby dilayangkan kad merah bertindak balas selepas diterjah oleh Joey Barton. Pengadil perlawanan, Phil Dowd terus menjadi watak penting disebalik kebangkitan Newcastle United apabila menghadiahkan 2 sepakan penalti yang disudahkan oleh Joey Barton pada minit ke-68 dan 82 serta jaringan Leon Best pada minit ke-75 sebelum Cheick Tiote mengikat kedudukan 4-4 menerusi rembatan kencang dari luar kota penalti pada minit ke-87.

2–Barisan bintang Barcelona tumpas 1-2 di Emirates – 12 Feb 2011

Pertemuan Arsenal-Barcelona sekali lagi menjadi tumpuan peminat-peminat bola sepak seluruh dunia menyaksikan pertemuan dua pasukan penuh taktikal yang menerapkan corak permainan menarik dengan gerakan pantas dan hantaran pendek yang tepat selain skill individu yang tinggi dipamerkan oleh pemain kedua-dua pasukan tetapi Barcelona tampil selaku pilihan dengan reputasi yang lebih cemerlang. Sebaik perlawanan bermula, kedua-dua pasukan silih berganti mengasak kubu lawan namun Barcelona terlebih dahulu di depan hasil jaringan David Villa pada minit ke-17.

Arsenal terus mengasak kubu yang dikemudi Eric Abidal dan Gerrard Pique sehingga pada minit ke-78 apabila sepakan kaki kiri dari sudut sukar sebelah kiri gagal ditampan keluar oleh penjaga gol Barcelona. Lima minit berselang hasil satu serangan balas yang pantas Arshavin bijak melakukan sepakan kencang sekaligus menghadiahkan gol kemenangan 2-1 buat Arsenal di laman sendiri.

3-Arsenal tewas 1-2 di pentas akhir Piala Carling – 27 Feb 2011

Kemarau trofi  Arsenal sejak 6 musim tampak akan berakhir apabila Arsenal berhadapan pasukan yang berada di zon penyingkiran, Birmingham City di Stadium Wembley. Namun Birmingham terlebih dahulu di depan hasil jaringan Nicola Zigic pada minit ke-28 sebelum Robin van Persie mengikat kedudukan pada minit ke-38 menerusi satu sepakan gunting.

Separuh masa kedua Arsenal mengandakan asakan demi asakan namun Ben Foster cemerlang mengawal benteng terakhir Birmingham dari dibolosi. Namun ketika perlawanan menuju ke minit-minit akhir, kesilapan komunikasi antara Koscielny dan Szczesny membolehkan Obafemi Martin berjaya menjaringkan gol kemenangan buat Birmingham City.

4–Selamat tinggal Liga Juara-Juara Eropah 2010/11 – 8 Mac 2011

Arsenal ditunjukkan jalan keluar oleh Barcelona apabila tewas 1-3 di Nou Camp. Sejak awal perlawanan Arsenal tampil tanpa kesebelasan terbaik lantaran dibelenggu masalah kecederaan pemain terpaksa menahan asakan bertubi-tubi dari pemain-pemain diketuai oleh Pemain Terbaik Dunia 2010 Lionel Messi yang bergandingan bersama David Villa, Xavi, Iniesta dan Pedro yang kerap mengucar kacirkan pertahanan Arsenal.

Lionel Messi akhirnya berjaya memecah kebuntuan apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-45. Namun hasil satu serangan balas pantas pada minit ke-52, Arsenal berjaya memerangkap Sergio Busquet yang tertanduk gol ke gawang sendiri. Ceria Arsenal hanya seketika apabila Robin van Persie dilayangkan kad kuning kedua kerana menyepak bola setelah wisel ditiup minit ke-55. Barcelona terus menganas dengan gol kedua menerusi Xavi pada minit ke-68 dan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Messi pada minit ke-71.

5–Kunjungan Arsenal ke Malaysia sempena Asia Tour 2011 – 13 Julai 2011

Detik yang pastinya tidak dapat dilupakan oleh peminat-peminat Arsenal khususnya di Malaysia serta dari negara jiran Singapura, Indonesia dan Thailand untuk melihat lebih dekat aksi-aksi bintang pujaan mereka seperti Robin van Persie, Theo Walcott, Samir Nasri, Thomas Vermaelen, Jack Wilshere, Aaron Ramsey, Laurent Koscielny, Andrey Arshavin dan ramai lagi.

Kali terakhir Arsenal beraksi menentang Malaysia pada 1999 di mana ‘The Gunners’ menang dengan 2-0 hasil jaringan Petit dan Anelka. Ini merupakan kunjungan ke-4 ‘The Gunners’ ke Malaysia setelah kali pertama pada 1960. Perlawanan Malaysia menentang Arsenal telah berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 8.45 malam disaksikan oleh lebih 70,000 penonton berkesudahan Arsenal menang 4-0 hasil jaringan Ramsey minit 5 (pen), Walcott minit 37, Carlos Vela minit 58 dan Rosicky minit 90.

6-Pemergian Cesc Fabregas dan Samir Nasri – 15 dan 23 Ogos 2011

Arsenal kehilangan dua tonggak utama iaitu Cesc Fabregas yang berhijrah ke Barcelona manakala Samir Nasri pula ke Manchester City jelas menjejaskan prestasi mereka di awal musim. Keadaan ini diburukan lagi dengan pengantungan Alex Song dan Gervinho serta kecederaan beberapa pemain utama seperti Vermaelen, Sagna dan lain-lain. Ini merupakan permulaan terburuk Arsenal sejak 58 tahun yang lalu apabila terperosok ke tangga ke-17 cuma mengutip 4 mata dari 6 perlawanan hasil dari 1 kemenangan, 1 seri dan 4 kekalahan.

Keadaan ini jelas mengecewakan peminat-peminat Arsenal sehingga ada segelinitr yang mendesak agar Arsene Wenger dipecat ekoran prestasi hambar namun pihak pengurusan eksekutif Arsenal terus memberi kepercayaan untuk Wenger terus menbimbing pasukan Arsenal.

7-Arsenal dimalukan 2-8 di Old Trafford – 28 Ogos 2011

Kekalahan terburuk dalam sejarah bola sepak Arsenal sejak 1896 apabila dimalukan Man United di Old Trafford tatkala umat Islam di Malaysia sedang sibuk untuk meraikan Aidilfitri 1432H. Sebelum perlawanan bermula lagi, Arsenal jelas tempang tanpa Fabregas yang berhijrah ke Barcelona dan Samir Nasri yang berhijrah ke Man City disamping pengantungan ke atas Song, Gervinho dan Frimpong serta masalah kecederaan yang menimpa Vermaelen, Gibbs, dan Sagna. Pemain-pemain muda Arsenal yang diturunkan jelas gagal untuk mengekang asakan bertubi-tubi dari Man United yang beraksi di gelanggang keramat mereka serta mendapat sorakan padu dari penyokong setia mereka.

Implikasi dari kekalahan ini telah mendorong Arsene Wenger membuat pembelian mengejut dengan menandatangani 4 pemain dan 1 pinjaman iaitu Mikel Arteta (Everton), Per Mertesacker (Werder Breman), Park Chu Yong (AS Monaco), Andre Santos (Fenerbahce) dan Yossi Benayoun (pinjaman dari Chelsea) untuk mengisi kepincangan pasukan Arsenal.

8-Ulangtahun ke-15 Arsene Wenger menjadi pengurus Arsenal – 1 Okt 2011

Tempoh 15 tahun bersama Arsenal merupakan satu perjalanan yang cukup panjang buat Arsenal Wenger membimbing Arsenal meraih pelbagai kejayaan. Kehadiran Arsene Wenger secara rasminya pada 1 Oktober 1996 dan diserikan lagi dengan kemenangan 0-2 ke atas Blackburn Rovers di Ewood Park 11 hari kemudiannya.

Sepanjang bersama Arsenal pelbagai kejuaraan dan kejayaan diraih antaranya Liga Perdana Inggeris sebanyak 3 kali (97/98, 01/02, 03/04), Piala FA  sebanyak 4 kali (97/98, 01/02, 02/03, 04/05), Perisai Komuniti FA sebanyak 4 kali (1998, 1999, 2002, 2004), naib juara Liga Juara-Juara Eropah (2005/2006)naib juara Piala UEFA (1999/2000) dan banyak lagi. Namun kejayaan paling cemerlang pastinya pada musim 2003-2004 apabila Arsenal ditabalkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris dengan rekod tanpa kalah sepanjang musim tersebut yang digelar sebagai ‘The Invincibles’.

Meskipun Arsenal mulai mengalami kemarau kejuaraan sejak berpindah ke Stadium Emirates 6 tahun yang lalu serta permulaan yang buruk di awal musim lalu yang menyaksikan segelintir penyokong mulai hilang kepercayaan kepada beliau, namun Arsene Wenger antara pengurus terbaik Arsenal sepanjang zaman berdasarkan sumbangan serta komitmennya bersama Arsenal selama ini. Tidak hairanlah mengapa pihak pengurusan kelab dan penyokong terus memberi sokongan padu buat Arsenal Wenger untuk terus membimbing Arsenal.

9-Kemenangan dramatik ke atas Chelsea di Stamford Bridge – 29 Okt 2011

Bangkit dari ketinggalan 2 kali namun akhirnya Arsenal menundukan Chelsea 5-3 di Stamford Bridge setelah kali terakhir pada 30 November 2008. Perlawanan ‘London Derby’ ini cukup menarik kerana kedua-dua pasukan menurunkan kesebelasan terbaik mereka dan saling mempamerkan aksi berbalas serangan sebaik wisel ditiupkan.

Sentuhan hatrik dari kapten Arsenal, Robin van Persie minit ke-36, 85, 91, Andre Santos pada minit ke-49 dan Theo Walcott minit ke-55 sekaligus memadamkan jaringan awal dari Frank Lampard minit ke-14 dan John Terry minit ke-45 serta sepakan cantik dari luar kotak penalti oleh Juan Mata. Kemenangan itu menjadi inspirasi untuk Arsenal terus mendaki tangga ke-6 selepas melalui permulaan yang mengecewakan di awal musim.

10-Sambutan ulang tahun ke-125 Arsenal – 10 Dis 2011

Arsenal telah mengumumkan perasmian tugu trio lagenda Arsenal iaitu Thierry Henry, Tony Adams dan Herbert Chapman di perkarangan Stadium Emirates sempena sambutan ulang tahun ke-125 yang disempurnakan oleh Pengerusi Arsenal, Peter Hill-Wood pada hari Jumaat sehari sebelum perlawanan menentang Everton. Pembinaan tugu tersebut bagi menghargai dan memperingati sumbangan sepanjang karier mereka bersama Arsenal.

Kehadiran pemain-pemain lagenda sepanjang zaman semasa perlawanan menentang Everton memeriahkan lagi sambutan ulang tahun bersama peminat-peminat di Stadium Emirates. Barisan pemain-pemain lagenda Arsenal dari pelbagai era yang hadir diberi penghormatan untuk berbaris mengiringi kemasukan pemain ke dalam padang sebelum sepak mula. Cicit kepada David Danskin, pengasas kelab bola sepak Arsenal pula diberi tugas untuk menyerah bola sebagai simbolik kepada warisan yang masih diingati kepada pengadil perlawanan, Howard Webb yang turut menggunakan syiling ‘sixpence’ sempena memperingati yang barisan pengasas yang telah memberi ‘sixpence’ setiap seorang untuk membeli bola sepak.

Pertemuan ini adalah yang pertama buat Mikel Arteta dengan bekas rakan-rakan sepasukannya di Goodison Park sejak berhijrah ke Arsenal pada 31 Ogos 2011. Sebaik perlawanan bermula kedua-dua pasukan sering berbalas-balas serangan namun masing-masing buntu menghasilkan jaringan sehinggalah pada minit ke-70 Arsenal menjaya menjaringkan gol kemenangan. Robin van Persie bijak membaca hantaran lambung dari Alex Song sekaligus memperdayakan pertahanan Everton sebelum melepaskan satu sepakan kaki kiri yang cantik. Kemenangan 1-0 tersebut sudah cukup memberi makna buat seluruh pasukan dan penyokong Arsenal.

This entry was posted in Coretan and tagged , , , , , , , , , , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply