[PIALA CARLING] LIVERPOOL, CARDIFF MARA KE FINAL

Liverpool dan Cardiff City bakal membuat perhitungan di pentas akhir Piala Carling 26 Februari depan. Penyerang Liverpool, Craig Bellamy muncul wira apabila menjaringkan gol pada minit ke-74 sekaligus mengecewakan bekas pasukannya Manchester City. Manakala penjaga gol Cardiff City, Tim Heaton menampilkan aksi pada kelas yang tersendiri apabila menafikan 2 sepakan penalti pasukan Crystal Palace.

LIVERPOOL MENEWASKAN MAN CITY DENGAN AGREGATE 3-2

Di sebalik aksi yang tidak konsisten di Liga Perdana Inggeris, Liverpool berjaya mencipta kejutan menjejakan kaki ke Stadium Wembley setelah 16 tahun apabila berjaya menewaskan Manchester City meskipun terikat 2-2 sama di Anfield semalam. Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu sepatutnya menyalahkan diri mereka sendiri apabila gagal membawa bekalan selesa ketika aksi separuh akhir pertama di Stadium Etihad 2 minggu lalu yang berkesudahan Liverpool menang 1-0 hasil sepakan penalti yang disempurnakan oleh Steven Gerrard pada minit ke-13.

Kekalahan Manchester City ini menyaksikan mereka kehilangan 2 piala dalam tempoh sebulan musim ini setelah disingkir oleh jiran setempat dalam saingan Piala FA 8 Januari lalu. City sedikit tempang tanpa kelibat ketua pasukan, Vincent Kompany yang digantung 4 perlawanan manakala Yaya dan Kolo Toure pula beraksi bersama Ivory Coast di Piala Afrika.

Aleksander Kolarov hampir memberi Enrique gol awal pada minit ke-4 setelah kesilapan dengan tendangannya tetapi penjaga gol Joe Hart telah menghalangnya dengan kaki beliau sebelum sepakan voli susulan dari Stewart Downing jauh tersasar. Liverpool terus mendominasi sepanjang 30 minit pertama perlawanan dengan gandingan Bellamy-Kuyt-Gerrad-Downing dan Henderson beberapa kali menguji kubu City.

Nigel De Jong akhirnya berjaya memecah kebuntuan City apabila menerima hantaran dari David Silva seterusnya menewaskan Pepe Reina hasil tendangan cantik pada minit ke-31. Namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Liverpool dihadiahkan sepakan penalti oleh Phil Dowd selepas percubaan Daniel Agger tertampan oleh tangan Micah Richard. Steven Gerrard tenang menyudah sepakan penalti itu pada minit ke-40.

Separuh masa kedua Mancini mengantikan Savic dengan Aguero bagi menambah sengat dibahagian serangan bagi menghidupkan peluang ke final. Hasilnya pada minit ke-67 bermula dari serangan Kolorov dari sebelah kiri bijak membuat hantaran lintang yang disudahkan oleh Edin Dzeko. Tatkala keputusan seakan-akan memihak kepada City, Craig Bellamy yang menerima hantaran pendek dari Glen Johnson berjaya menewaskan Joe Hart menerusi rembatan kaki kiri pada minit ke-74. Meskipun City terus mengasak namun Liverpool ampuh bertahan hingga perlawanan tamat.

Untuk rekod, kali terakhir The Reds beraksi di final pada kejohanan domestik ialah pada tahun 2006 yang menyaksikan mereka muncul juara Piala FA selepas menewaskan West Ham United di Cardiff.

TIM HEATON BANTU CARDIFF CITY KE FINAL PIALA CARLING

Cardiff City mengesahkan slot final Piala Liga selepas membenam Crystal Palace 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti awal pagi kelmarin. Cardiff ceria selepas kali terakhir melangkah ke Wembley sebelum tewas kepada Portsmouth pada final Piala FA 2008. Terdahulu pada aksi separuh akhir pertama di Selhurs Park, 10 Januari lalu Palace menang 1-0 hasil jaringan Anthony Gardner.

Kelebihan bermain di laman sendiri memberi kelebihan buat Cardiff mengasak sebaik sepak mula dan hasilnya pada minit ke-7 apabila Anthony Gardner tertanduk bola ke gawang sendiri sekaligus memadam kelebihan awal yag dimiliki oleh Palace. Cardiff hampir memperoleh gol kemenangan menerusi Kenny Miller, namun percubaannya sekadar terkena palang. Palace pula ditimpa malang apabila kapten, Patrick McCarthy diarah keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua ketika perlawanan berbaki 13 minit. Tanpa khidmat McCarthy, Palace terpaksa menggunakan corak bertahan apabila Cardiff dilihat ghairah memburu jaringan kemenangan.

Kedua-dua pasukan sering mengasak namun buntu mengasilkan gol meskipun perlawanan berlarutan ke masa tambahan dan akhirnya perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti. Penjaga gol Cardiff, Tim Heaton menjadi wira apabila berjaya menyelamtkan sepakan penalti Jermaine Easter dan Sean Scannell.

“Kami memiliki pengalaman beraksi pada peringkat ini (sepakan penalti) dan pemain yang mengambil sepakan itu mempunyai kekuatan mental. Tom Heaton kembali bangkit memberikan persembahan yang terbaik selepas gagal berbuat demikian pada perlawanan pertama,” kata pengurus Cardiff, Malky Mackay.

INFO : Cardiff City merupakan kelab bola sepak yang dimiliki oleh ahli perniagaan dari Malaysia iaitu Datuk Chan Tien Ghee.

This entry was posted in EPL and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply