[INFO] STADIUM EMIRATES KEBANGGAAN ARSENAL

Stadium Emirates atau nama asalnya Ashburton Grove merupakan gelanggang tuan rumah bagi kelab bola sepak Arsenal terletak di kejiranan Holloway, Islington, utara London . Stadium ini merupakan stadium bola sepak kedua terbesar di England selepas Old Trafford memilik kapasiti seramai 60,355 tempat duduk. Stadium ini mula beroperasi buat pertama kalinya menggantikan Stadium Highbury dengan mengendali perlawanan persahabatan Arsenal menetang Ajax Armsterdam pada 22 Julai 2006.

Pembinaan Stadium Emirates merupakan langkah kehadapan dalam mengimbangi perkembangan kelab Arsenal yang semakin pesat dan mengatasi masalah kesesakan di Stadium Highbury yang hanya mampu memuatkan sebanyak 38,419 penyokong. Perancangan mengenainya telah bermula pada November 1999 di mana Arsenal terpaksa mengunakan Stadium Wembley untuk menampung kepadatan penyokong untuk perlawanan Liga Juara-Juara Eropah.

Pembinaan stadium baru ini secara tidak langsung telah mengubah polisi kelab dan dasar pembelian pemain oleh Arsene Wenger yang lebih menumpukan pembangunan pemain muda untuk menjimatkan dana kewangan kelab demi menyelesaikan hutang kos pembinaan stadium ini.

Kos pembinaannya telah menelan belanja sebanyak £470 juta termasuk kos sampingan sehingga stadium ini siap sepenuhnya pada Jun 2006. Stadium telah direka bentuk oleh HOK Sports dan Buro Happorl sebagai jurutera struktur sementara Sir Robert McAlpine bertindak sebagai kontraktor utama. Penjenamaan Stadium Emirates diumumkan pada 5 Oktober 2004 apabila Emirates Airline menandatangani kontrak 15 tahun untuk nama stadium bernilai £100 juta.

Stadium Emirates hanya 450 meter dari Stadium Highbury, berpusat cuma 7.5km dari pusat bandar London dan 30km dari Lapangan Terbang Heathrow. Stadium ini telah dirasmikan oleh Putera Philip, Duke of Edinburgh pada 26 Oktober 2006 mengantikan Ratu Elizabeth II yang tidak dapat hadir atas masalah kesihatan pada saat-saat akhir. Sebagai gantinya, Ratu Elizabeth II memberi penghormatan kepada pengerusi, pengurus dan skuad utama Arsenal untuk menghadiri minum petang bersama Ratu di Istana Buckingham pada 15 Februari 2007 dan Arsenal merupakan satu-satunya kelab bola sepak yang diundang ke istana tersebut untuk majlis seumpamanya.

Stadium Emirates terus gah di hati peminat-peminat Arsenal seluruh dunia meskipun belum menerima sebarang trofi sejak berpindah dari Highbury. Namun stadium ini seringkali menjadi tumpuan peminat bola sepak seluruh dunia atas penganjuran perlawanan bola sepak antarabangsa kerana kemudahan prasarana serba lengkap dan canggih. Dan jika England terpilih menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018, Stadium Emirates sudah dipilih sebagai venue utama kejohanan berprestis itu.

This entry was posted in Informasi and tagged , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply