[BERITA] GALATASARAY, PSG MINAT SAFEE SALI

Teka-teki mengenai masa depan peledak berbisa Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali bersama kelabnya, Pelita Jaya hanya akan dimuktamadkan selewat-lewatnya penghujung bulan ini. Pengurus peribadinya, Zakaria Abdul Rahim memberitahu setakat ini masih belum ada kata putus mengenai lanjutan kontrak Safee Sali bersama Pelita Jaya sebaik kontraknya tamat pada 31 Januari ini.

“Kita tunggu penghujung bulan ini. Saya akan ke sana (Indonesia) sekali lagi bagi mengadakan perbincangan lanjut bersama Pelita Jaya berhubung kontrak Safee selepas perbincangan sebelum ini masih belum menemui jalan penyelesaian,” katanya kepada wartawan semalam.

Pelita Jaya juga telah menyatakan hasrat mahu menawarkan kontrak lanjutan selama tiga tahun bagi terus mendapatkan khidmat Safee selepas ini. Namun ianya  urang dipersetujui kapten Pelita Jaya itu atas alasan ‘terlalu lama’ yang dikhuatiri bakal membuatkan persembahannya kekal statik tanpa sebarang peningkatan.

Spekulasi menyatakan tiga kelab Eropah yang dilaporkan berminat mendapatkan khidmat Safee ialah kelab Galatasaray (Turki), Panathinaikos FC (Greece) dan pendahulu Ligue 1 Perancis, Paris Saint Germain yang baru sahaja mendapat sentuhan bekas pengendali Chelsea, Carlo Ancelotti baru-baru ini. Namun Safee enggan mendedahkan nama ketiga- tiga kelab tersebut atas alasan ia sekadar tawaran secara lisan dan masih belum ada sebarang persembahan rasmi dibuat setakat ini.

“No comment. Masih terlalu awal untuk mengumumkan nama ketiga-tiga kelab tersebut. Buat masa ini, Safee masih pemain Pelita Jaya,” kata Zakaria ringkas.

Safee yang telah meledak lima gol sepanjang saingan Liga Super Indonesia (ISL) musim ini merupakan penjaring gol kedua terbanyak setakat ini, selain merupakan satu-satunya pemain dari Asia Tenggara yang berada dalam senarai 10 penjaring terbanyak ISL. Pelita Jaya yang menduduki tangga keenam ISL dengan mengumpul 11 mata bakal berdepan cabaran pasukan di tangga kelapan, Mitra Kutai Kartanegara FC di Kalimantan hari ini.

Sumber : www.kosmo.com

This entry was posted in Berita and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply