[BADMINTON] LEE CHONG WEI UNGGULI TERBUKA MALAYSIA 2012

Lee Chong Wei berada pada kelas tersendiri apabila mudah menundukkan pemain muda Jepun, Kenichi Tago 21-6, 21-13 dalam masa 37 minit pada aksi final Terbuka Malaysia 2012 di Stadium Putra, Bukit Jalil semalam. Reputasi selaku pemain no. 1 dunia jelas bukan tandingan Kenichi Tago, 22, meskipun cuba bangkit di set kedua. Kejayaan anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu merupakan yang ke-8  buat dirinya sejak edisi 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010 dan 2011. Lebih manis kejayaan semalam Chong Wei semalam turut menyamai rekod milik pemain legenda tanah air, Wong Peng Soon yang pernah menjulang kejuaraan ini sebanyak 8 kali pada 1940, 1941, 1947, 1949, 1950, 1951, 1952, dan 1953.

Sejak awal perlawanan lagi, Chong Wei nyata menguasai gelanggang dengan tidak memberi ruang kepada Kenichi untuk merapatkan jurang. Pada set pertama, Chong Wei meninggalkan Kenichi 12-2 sebelum menamatkan saingan 21-6.  Bagaimanpun Kenichi dilihat sedikit bangkit pada set kedua, namun ia tidak menjejaskan  rentak bermutu Chong Wei. Ketika kedudukan 19-12, Kenichi tidak berputus asa dan berusaha keras mengasak, bagaimanapun Chong Wei yang bermain secara bersahaja menamatkan perlawanan 21-13 dengan diiringi sorakan padu penonton di Stadium Putra, Bukit Jalil.

“Saya gembira kerana berpeluang memenangi Terbuka Malaysia buat kali kelapan, dan diharapkan saya mampu mengulanginya lagi pada tahun depan.”

Beliau menyifatkan perlawanan itu sebagai perlawanan akhir Terbuka Malaysia paling mudah buatnya, berharap dapat mengekalkan semangat dan prestasinya kali ini sehingga Sukan Olimpik London pada Julai ini. Menurut beliau lagi, dia gembira dapat menumpaskan dua musuh utama dari China iaitu Lin Dan (pada akhir Terbuka Korea minggu lalu) dan Chen Long (peringkat separuh akhir kejohanan) awal tahun ini.

“Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan China akan bersedia dengan strategi yang lebih kuat pada Olimpik nanti.”

“Buat masa ini saya gembira dapat mengalahkan mereka, namun saya juga akan buat persediaan yang lebih bagus,” katanya kepada media selepas upacara penyampaian hadiah yang disempurnakan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor di mana beliau menerima piala dan wang tunai bernilai AS$30,000 (RM93,990).

KEPUTUSAN PENUH TERBUKA MALAYSIA 2012

Perseorangan Lelaki
Lee Chong Wei (Malaysia) vs Kenichi Tago (Jepun) – 21-6, 21-13

Perseorangan Wanita
Wang Yihan (China) vs Wang Xin (China) – 21-19, 21-11

Beregu Lelaki
Fang Chieh Min/Lee Sheng (Taiwan) vs Cho Gun Woo/Shin Baek Choel (Korea Selatan) – 16-21, 21-16, 21-16

Beregu Wanita
Christina Pedersen/Kamilla Rytter Juhl (Denmark) vs Jung Eun/Kim Min Jung (Korea Selatan) – 21-19, 21-18

Beregu Campuran
Christina Zhang Nan/Zhao Yunlei (China) vs Xu Chen/Ma Jin (China) – 21-12, 21-9.

This entry was posted in Badminton and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply